M. Nasir rai hari lahir dengan konsert Cipta 4 Julai ini

Oleh: Tyah Helmi

PEMINAT penyanyi legenda Datuk M. Nasir bakal disajikan dengan sebuah hadiah iaitu Konsert Cipta 4 yang bakal menggegarkan pentas terkemuka negara Unifi Arena pada 4 Julai depan.

Menerusi kenyataan penganjur Icon Entertainment pada Khamis, konsert penuh magis itu dilaksanakan sempena hari kelahiran Sang Maestro negara itu bersama gabungan figura besar arena muzik nusantara, Melly Goeslow.

“Sebuah hadiah hari jadi dari sang MAESTRO sendiri buat para peminat.

“Jatuh pada tanggal keLAHIRANnya, 4 Julai 2026 bakal menyaksikan keraiaan cinta dalam irama dan lagu yang dipersembahkan dalam DATO’ M.N47IR CIPTA 4,” katanya.

Kenyataan itu turut menyematkan ayat-ayat penuh romantika apabila “Jangan padamkan mentari cinta” serta “Jangan padamkan jernih cinta kristal..” dilaungkan sebagai mantera M Nasir demi peminatnya.

Konsert bertemakan Batik Injection itu bakal menyaksikan lebih 30 lagu M. Nasir.

Lebih menarik lagi apabila, para peminat boleh menghadirkan diri bersama hadiah istimewa buat M Nasir bersempena hari kelahirannya.

Ujar Icon Entertainment, pihaknya bakal menyediakan ruangan yang besar di depan arena terbabit agar semua hadiah yang dibawa itu dapat diberikan kepada M Nasir

Namun, pihaknya melarang pemberian hadiah yang berbentuk makanan, bunga dan para peminat itu sendiri.

Tiket berharga antara RM238 hingga RM588 akan mula dijual pada 24 April ini menerusi platform www.ticket2u.com.my

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat