Seramai 46 pendatang asing tanpa izin (PATI) ditahan Unit Penguatkuasa Imigresen (UPI) Bahagian Bintulu di 16 lokasi berbeza menerusi operasi bersepadu pada Sabtu.
Kesemua PATI itu ditahan menerusi pelbagai operasi yang digelar Ops Kutip, Ops Mahir, Ops Selera dan Ops Sapu.
Menerusi satu kenyataan oleh Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Sarawak, UPI sekali lagi menggempur beberapa lokasi ‘hotspot’ di sekitar bandar Bintulu susulan daripada aduan dan maklumat daripada orang awam bagi mengekang kehadiran warga asing yang tinggal di negara ini tanpa pas yang sah.
“Bertindak atas maklumat yang diberikan dan risikan selama beberapa minggu, beberapa lokasi berasingan telah digempur UPI Bintulu di sekitar bandar ini selama dua hari yang berakhir pada Sabtu.
“Kebanyakan lokasi tertumpu di premis-premis makanan, kilang-kilang, rumah kongsi dan rumah sewa,” katanya.
Difahamkan, kesemua individu yang ditahan akan didakwa di bawah Akta Imigresen 1959/63 kerana telah melakukan pelbagai kesalahan seperti tinggal melebihi masa, penyalahgunaan pas serta tidak memiliki dokumen perjalanan yang sah.
JIM turut menyeru orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung dengan kehadiran individu-individu yang disyaki untuk melaporkan atau menyalurkan terus maklumat berkaitan ke Pejabat Imigresen yang berdekatan atau melalui saluran aduan sedia ada seperti tertera.
Baca juga: