MB Selangor tampil dalam telefilem khas ‘Ayah Panggil Balik’, ditayang Jumaat ini

Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari dan bersama beberapa Exco Kerajaan Negeri bakal membuat penampilan istimewa dalam telefilem Ayah Panggil Balik yang ditayangkan pada Jumaat.

Amirudin memegang watak penting sebagai Tuan Kamil di samping beberapa pelakon terkenal seperti Zaidi Omar, Fazlina Ahmad Daud dan Syafie Naswip.

Selain konflik keluarga, drama yang ditayangkan di saluran TV2 pada pukul 9 malam itu turut menyelitkan skim Iltizam Selangor Penyayang (ISP) untuk manfaat rakyat dan menekankan perpaduan serta keharmonian.

Sementara itu, telefilem yang menjalani penggambaran sekitar Kuala Langat dan Shah Alam turut mempromosi Inisiatif Roda Darul Ehsan, Skim Pinjaman Teknologi Asas Selangor serta bantuan perumahan.

Ayah Panggil Balik mengisahkan konflik dihadapi keluarga Cikgu Zainal (Zaidi Omar) hingga terpaksa menghalau dua anaknya Fendi dan Husna (Syafie dan Amira Drummer) dari kampung.

Bagaimanapun, kehadiran Tuan Kamil membantu kedua-dua beradik itu hingga berjaya hidup di bandar, sekali gus merapatkan kembali silaturrahim.

Difahamkan, antara Exco Negeri Selangor yang turut tampil pada tayangan khas Aidilfitri itu ialah Exco Perumahan dan Kebudayaan, Borhan Aman Shah, Exco Kerajaan Tempatan dan Pelancongan, Datuk Ng Suee Lim dan Exco Sumber Manusia dan Pembasmian Kemiskinan, V Papparaidu.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat