Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah membuka pejabat cawangan baharu di Gua Musang, Kelantan dalam usaha memperluas perkhidmatannya sekali gus mempermudahkan masyarakat setempat berurusan dengan suruhanjaya berkenaan.
Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh SPRM, perasmian pejabat cawangan baharu yang mula beroperasi sejak 2 Januari lalu itu disempurnakan oleh Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki pada Khamis.
Pejabat yang terletak di Bangunan Persekutuan Gua Musang itu berkeluasan 69 meter persegi dilengkapi dengan bilik ketua cawangan serta mempunyai bilik merakam kenyataan selain ruang kerja bagi menempatkan seramai lima warga SPRM.
Sehubungan itu, orang ramai yang ingin menyalurkan sebarang maklumat berkaitan rasuah atau salah guna kuasa boleh hadir ke pejabat berkenaan atau menghubungi talian 09-912 7623.

Pada majlis perasmian pejabat SPRM cawangan Gua Musang itu, Azam Baki berkata, daerah itu dilihat semakin berkembang maju dengan pelbagai aktiviti pertanian, perindustrian, perlombongan, pembalakan dan eko pelancongan sekali gus mewujudkan banyak aktiviti ekonomi serta peluang pekerjaan.
“Perkembangan positif ini dalam masa sama akan membuka ruang kepada peningkatan risiko berlakunya jenayah termasuk jenayah rasuah, penyelewengan dan salahguna kuasa.
Beliau berkata, perjuangan menentang rasuah juga tidak boleh diletakkan di bahu penguatkuasaan undang-undang semata-mata, tetapi memerlukan kerjasama dan sokongan daripada semua pihak
“Saya menyeru warga daerah ini untuk bersama-sama SPRM dengan melaporkan sebarang kes rasuah yang disyaki dan kami akan menyiasat setiap aduan dengan teliti selari dengan prinsip bebas, telus dan professional,” katanya.

Terdahulu, SPRM juga telah membuka cawangan baharu di Mersing, Johor dan sudah mula beroperasi sejak 1 Januari yang lalu bertempat di Bangunan JKR 290, Jalan Ibrahim, 86800 Mersing, Johor.
Azam Baki turut merasmikan pembukaan cawangan berkenaan dengan pejabat yang berkeluasan 207.68 meter persegi serta dilengkapi dengan bilik mesyuarat, bilik merakam kenyataan dan surau, selain ruang kerja bagi menempatkan warga SPRM.
Baca juga:








