Polis tangkap 3 warga tempatan dipercayai miliki senjata berbahaya di Perak

Polis memberkas tiga orang warga tempatan dipercayai memiliki senjata berbahaya dan peralatan polis secara tidak sah di Sg Senam,Ipoh, Perak pada Jumaat.

Pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) Daerah Ipoh melaporkan menerima laporan kira-kira pada pukul 6.40 pagi berkenaan sebuah kenderaan yang mencurigakan di sekitar kawasan tersebut sebelum bertindak menahan kenderaan Alza yang dinaiki suspek.

Menurut Ketua Daerah Polis Ipoh Pembantu Polis Pesuruhjaya (ACP), Abang Zainal Abidin Abang Ahmad polis bertindak menahan suspek dan melakukan pemeriksaan fizikal.

“Polis mendapati kesemua suspek dalam lingkungan 27 hingga 37 tahun.

“Ujian saringan awal air kencing mendapati kesemua suspek menunjukkan positif dadah jenis Metamphetamine dan Amphetamine.

“Semakan rekod lampau pula mendapati ketiga-tiga suspek mempunyai lebih dari satu rekod kesalahan jenayah dan rekod kesalahan dadah. Kesemua suspek akan ditahan bagi membantu siasatan,” ujarnya menerusi satu kenyataan.

Suspek-suspek tersebut dilaporkan akan disiasat di bawah Seksyen 6 (1) Akta Bahan-Bahan Kakisan , Letupan dan Senjata Berbahaya (ABKLSB) 1958 dan 89 (A) Akta Polis 1967.

Baca juga: