Oleh: Shafira Aziz
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan mana-mana pihak untuk tidak mempolitikkan peruntukan Kerajaan Persekutuan yang diberikan kepada kerajaan negeri.
Menurut Anwar, sekiranya peruntukan yang diberikan tidak mencukupi, beliau dengan sikap secara terbuka bersedia untuk membincangkannya.
“Saya sudah baca dengan teliti dan jangan politikkan perkara itu.
“Kalau mahu lagi (peruntukan), datang dan bincang dengan saya secara baik,” katanya kepada Malaysia Bangkit di Pusat Penjaja Tanglin, Kuala Lumpur pada Jumaat.
Anwar berkata demikian ketika menjawab dakwaan oleh Ahli Parlimen Beluran, Ronald Kiandee yang mendakwa peruntukan RM16 bilion kepada Sabah tidak mengambil kira faktor negeri itu berhak mendapat tambahan 40 peratus daripada hasil persekutuan dan cukai dari negeri itu.
Terdahulu, rutin santai Jumaat Anwar kali ini adalah mengunjungi Laman Selera Madani Tanglin untuk menyaksikan sendiri hasil naik taraf medan selera berkenaan di bawah inisiatif Lestari Niaga@Kuala Lumpur.
Pada awal tahun lalu, Anwar telah meluluskan peruntukan bagi menaik taraf medan selera itu.
Beliau mengakui hasil dari inisiatif tersebut telah membawa kepada keselesaan pengunjung di medan selera berkenaan.