PM hasrat Malaysia setaraf negara maju dalam dunia inovasi

Oleh: Wahida Ramlan

PETALING JAYA: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menekankan kepentingan inovasi dalam memberikan saingan kepada negara-negara lain.

Katanya, jika masih terikat dalam memperbaiki prestasi lama, negara tidak akan berkembang dalam sektor dunia inovasi.

“Penemuan baharu di dalam bidang sains, digital dan kecerdasan pembuatan perlu diambil kira serta diaplikasikan dalam apa jua bidang termasuk dunia inovasi yang memerlukan anjaran baharu dan bukannya terperuk di takuk yang sama.

“Kerajaan melalui Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) telah melaksanakan pelbagai inisiatif dan program dalam menyokong syarikat permula atau startups tempatan dan memupuk persekitaran yang kondusif untuk pertumbuhan mereka.

“Ini merangkumi kemudahan pembiayaan, khidmat nasihat, akses pasaran dan lain-lain berkaitan bagi mempelbagaikan tarikan selain menyokong keperluan pembangunan negara,” katanya ketika berucap dalam perasmian Sidang Kemuncak Pengkomersialan Malaysia atau Malaysia Commercialisation Year (MCY) Summit 2024 hari ini.

Terdahulu, Anwar mengumumkan inisiatif bagi pengkomersialan sebanyak 553 produk teknologi dan perkhidmatan antara tahun 2016 hingga 2023 yang telah menjana pendapatan melebihi RM729.9 juta di pasaran tempatan dan global.

Anda Mungkin Berminat