Piala Sultan Selangor Eksklusif Antara Selangor, Singapura

Oleh: Hanim Nadia

PETALING JAYA: Piala Sultan Selangor (TSSC) adalah eksklusif terhadap persahabatan pasukan bola sepak Selangor dan Singapura.

Malah, idea penganjurannya dicetuskan sendiri oleh Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah yang dianjurkan pertama kali pada 2001 iaitu tahun sama baginda ditabal sebagai pemerintah negeri ini.

Menurut satu kenyataan Pejabat Sultan Selangor, sepanjang 23 tahun piala ini diperkenalkan, simbolik persahabatan dan muhibah kesukanan diraikan sebagai teladan dalam membanteras gejala keganasan sukan.

“Kepada yang cakna dan faham sejarah, mereka akan mengerti rasional di sebalik penganjuran dan turut sama meraikan Piala Sultan Selangor sebagai sebuah acara berprestij yang menyemarakkan semangat persahabatan dalam sukan.

“Selain mengembalikan nostalgia, penganjuran Piala Sultan Selangor adalah antara acara yang dinanti-nantikan oleh peminat bola sepak tempatan yang merindui zaman kegemilangan bola sepak Malaysia,” menurut kenyataan itu di Facebook Selangor Royal Office pada Selasa.

Selangor dan Singapura merupakan dua pasukan yang paling berjaya dalam sejarah Liga Malaysia pada ketika itu sejak Piala Malaysia yang sebelumnya dikenali sebagai Piala Malaya dan kemudian Piala HMS Malaya diperkenalkan pada 1921 dengan kedua-dua pasukan bertemu sebanyak 23 kali dalam perlawanan akhir.

Mengikut catatan itu, perlawanan antara kedua pasukan diadakan setiap tahun sama ada di Stadium Shah Alam atau Stadium Nasional Singapura, kali terakhir kejohanan itu berlangsung adalah pada tahun 2019 sebelum ditangguhkan akibat pandemik Covid-19.

Sepanjang diadakan, Selangor bergelar juara sebanyak sembilan kali, manakala Singapura menjuarai sebanyak tujuh kali.

Pada 2004 kedua-dua pasukan bergelar juara bersama, manakala pada 2015 terpaksa dibatalkan kerana jerebu.

Pada edisi ke-18 Piala Sultan Selangor yang diadakan pada 17 Ogos lepas dianggap cukup berbeza kerana dilangsungkan semula di medan keramat kedua-dua pasukan iaitu di Stadium Merdeka, yang menyaksikan Pilihan Selangor muncul juara.

“Ternyata, saingan Piala ini dianggap telah menggamit banyak nostalgia dan kenangan, terutama bagi lagenda dan penyokong kedua-dua pasukan.

“Lagenda bola sepak Selangor seperti Datuk Zainal Abidin Hassan dan lagenda bola sepak Singapura, Fandi Ahmad sendiri mengakui mereka amat teruja dengan penganjurannya yang disifatkan sebagai satu platform mengimbas kembali nostalgia “permusuhan tradisi” antara kedua-dua pasukan,” katanya.

Dalam hal ini, Selangor Royal Office berharap penjelasan itu dapat memberi fakta tepat dan manfaat pengetahuan lebih jelas kepada masyarakat, khususnya generasi baharu yang mungkin masih belum faham atau dimomokkan dengan informasi mengelirukan tentang sejarah sebenar kewujudan Piala Sultan Selangor.

Anda Mungkin Berminat