Oleh: Hanim Nadia
KUALA LUMPUR: UMNO akan kekal menggunakan logo Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16).
Presidennya, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, perkara itu merupakan salah satu daripada garis haluan baharu UMNO.
“Dalam tempoh tidak lebih tiga tahun, kita akan hadapi PRU16. Saya setuju dengan pandangan rakan kepimpinan dan ahli di akar umbi bahawa dalam PRU akan datang, kita harus tetap menggunakan lambang dacing, lambang BN.
“Namun kita tidak menolak kolaborasi dengan 18 parti-parti dalam Kerajaan Perpaduan supaya tidak berlaku pertindihan dan terdapat kerjasama dalam menggamit sokongan pengundi,” katanya pada sidang akhbar Taklimat Presiden di Pusat Dagangan Dunia (WTC), pada Rabu.
Dalam pada itu, Ahmad Zahid mahu kepimpinan UMNO di semua peringkat mengambil pengajaran daripada kemenangan parti itu pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Nenggiri baru-baru ini.
Ulasnya, kemenangan itu memberikan satu nada baharu dalam perjuangan UMNO sekali gus menepis telahan bahawa parti itu tidak lagi relevan ataupun ditolak orang Melayu.
“Kerusi yang kita telah kalah dapat tebus semula. Negeri yang dikuasai oleh pembangkang pun tidak dapat mempertahanankan kerusi itu.
“Jika semua pihak bersatu hati menyusun dan menstruktur strategi dengan sebaik-baiknya dan berusaha bersungguh-sungguh, insya-Allah kejayaan pasti memihak kepada kita,” ujarnya.
Sementara itu, menyentuh soal prestasi kepada Kerajaan Perpaduan, Ahmad Zahid memuji kesemua Menteri dan Timbalan Menteri UMNO telah memperlihatkan prestasi yang baik.
“Pencapaian ini terpapar dalam papan iklan di sekitar Dewan Merdeka. Bukan untuk membangga diri tetapi sekadar menjelaskan kepada para perwakilan dan pemerhati dalam PAU, bahawa apabila kami diberikan amanah dan tanggungjawab, kita laksanakan sepenuhnya demi rakyat Malaysia,” tambahnya.