Tidak Perlu Beritahu YDPA Bagaimana Untuk Memilih – Azalina

Oleh: Hanim Nadia

PETALING JAYA: Seseorang individu tidak boleh mempersoal dan memberitahu Yang di-Pertuan Agong (YDPA) apa yang perlu baginda lakukan dan bagaimana untuk memilih.

Demikian kenyataan tegas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said yang dipercayai merujuk kepada Presiden Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin.

“Perkara 43(2)(a) Perlembagaan Persekutuan memperuntukkan bahawa YDPA hendaklah melantik seorang Perdana Menteri (PM) yang pada hemat baginda mendapat kepercayaan majoriti ahli Dewan Rakyat.

“Manakala Perkara 40(2)(a) pula memperuntukkan bahawa YDPA bertindak mengikut budi bicaranya dalam soal pelantikan PM.

“Anda tidak boleh mempersoalkan budi bicara Baginda (budi bicara penuh) dan anda juga tidak perlu memberitahu YDPA apa yang perlu baginda lakukan atau bagaimana untuk memilih. Sangat Mudah!” ciapnya di aplikasi X pada Rabu.

Baru-baru ini, Muhyiddin didakwa menyentuh kewibawaan Al-Sultan Abdullah ketika baginda menjadi YDPA dalam ceramah umum Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Nenggiri pada 15 Ogos lalu.

Muhyiddin mendakwa, beliau sudah mendapat 115 sokongan ahli-ahli Dewan Rakyat selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) yang membolehkannya untuk dilantik semula sebagai Perdana Menteri.

Namun, menurut Presiden BERSATU itu, beliau tidak dipanggil oleh YDPA ketika itu untuk mengangkat sumpah.

Pada Rabu, Muhyiddin menyerahkan beberapa dokumen kepada polis sepanjang tempoh sejam memberi keterangan bagi membantu siasatan berhubung kenyataannya yang didakwa menyentuh isu 3R (Raja, agama dan kaum).

Beliau berkata, dokumen itu adalah dua surat daripada Yang Dipertua Dewan Rakyat bertarikh 20 November 2022, yang mengandungi titah perintah YDPA Ke-16 meminta mana-mana Ahli Dewan Rakyat yang mendapat sokongan majoriti Ahli-Ahli Dewan Rakyat yang lain untuk menjadi Perdana Menteri.

Baca juga: