MoU TalentCorp-NSDC tingkat kemahiran digital belia

Oleh: Kamilia Ali

PETALING JAYA: Belia Malaysia akan dibekalkan dengan kemahiran digital demi masa hadapan, kata Menteri Sumber Manusia, Steven Sim.

Beliau berkata ia akan direalisasikan menerusi kerjasama Agensi Talent Corporation Malaysia Berhad (TalentCorp) di bawah Kementerian Sumber Manusia Malaysia (KESUMA) yang telah menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) dengan Perbadanan Pembangunan Kemahiran Nasional (NSDC) International (anak syarikat NSDC India) baru-baru ini.

“KESUMA melalui TalentCorp telah merangka program latihan kemahiran khusus berdasarkan cadangan dan bimbingan Future Skills Talent Council (FSTC).

“Kami dapati rata-rata peserta yang menyertai latihan kemahiran berdasarkan panduan FSTC ini biasanya memperoleh gaji 10 hingga 15 peratus lebih tinggi, membuktikan hubungan kukuh antara peningkatan produktiviti dan kenaikan gaji.

“Dengan MoU baharu ini, kedua-dua Kerajaan akan terus memperkukuh kerjasama dan mencapai kejayaan yang lebih besar untuk kedua-dua negar.

“Secara tidak langsung, pertukaran MoU tersebut dapat memperkukuhkan hubungan dua hala antara Malaysia dan India serta inisiatif pembangunan kemahiran di kedua-dua negara,” katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Pada Mac 2023, perjanjian pertama telah ditandatangani oleh TalentCorp dan NSDC yang membawa kepada penubuhan MyMAHIR FSTC yang dipacu industri oleh TalentCorp.

Inisiatif berikut membolehkan pemimpin industri mengenal pasti keperluan kemahiran dalam sektor tertentu untuk memastikan bakat dilengkapi dengan kemahiran semasa dan masa depan.