KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan komitmen berterusan kerajaan dalam memperkasa agenda keusahawanan Bumiputera menerusi pendekatan lebih menyeluruh dan berimpak tinggi.
Menurut beliau, pengukuhan Bumiputera Commercial and Industrial Community (BCIC) menjadi teras utama dengan sasaran lebih berani termasuk meningkatkan pelaburan syarikat berkaitan kerajaan (GLIC) sehingga RM2 bilion.
Selain itu, kerajaan turut menyasarkan sekurang-kurangnya 10 penyenaraian awam baharu serta melahirkan Jaguh Bumiputera yang mampu mencapai nilai syarikat sehingga RM500 juta dalam tempoh lima tahun.
“Ini bukan sekadar angka, tetapi lambang tekad untuk mengangkat martabat ekonomi Bumiputera ke tahap lebih mapan dan berdaya saing,” katanya.
Anwar berkata, pendekatan strategik yang digerakkan melibatkan pengukuhan syarikat sedia ada serta membuka ruang kepada penyertaan dalam sektor pertumbuhan baharu seperti kecerdasan buatan dan teknologi tinggi.
Beliau turut menekankan kejayaan beberapa syarikat tempatan sebagai bukti keupayaan usahawan Bumiputera apabila ekosistem yang tepat disediakan.
Antaranya termasuk SERAI dan GlocAI yang menunjukkan potensi besar dalam landskap ekonomi moden.
Dalam masa sama, kerajaan terus memperluas akses kepada pembiayaan, perolehan kerajaan dan peluang komersial, sebagaimana dinikmati syarikat seperti Bateriku, Hanan Medicare, Bluesify, Pak Tam dan Meraque.
Mengulas lanjut, beliau berkata sesi meja bulat yang diadakan bukan sekadar platform perkongsian idea, tetapi medan penting untuk mengenal pasti kekangan dan cabaran yang masih dihadapi usahawan Bumiputera.
“Kerajaan mendengar, menilai dan akan terus memperhalusi pendekatan supaya setiap dasar benar-benar mencerminkan realiti di lapangan,” katanya.
Anwar menegaskan, dengan iltizam kolektif dan kepemimpinan berprinsip, agenda keusahawanan Bumiputera akan terus berkembang sebagai tonggak ekonomi negara, selari dengan prinsip keadilan sosial yang menjadi asas kepada gagasan Malaysia MADANI.
Baca juga:








