PETALING JAYA: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim akan menyampaikan Amanat Perdana Hari Kebangsaan 2024 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), Jumaat ini.
Setiausaha Bahagian Pembangunan Masyarakat Kementerian Perpaduan Negara, Zaimy Shaari berkata, majlis yang dijangka bermula pada pukul 4.30 petang itu bertujuan untuk membangkitkan keghairahan dan menyemarakkan penghayatan kemerdekaan dalam kalangan rakyat Malaysia terutamanya generasi baharu.
“Kita garapkan tahun ini supaya tema Malaysia Madani: Jiwa Merdeka itu dapat sama-sama kita fahami, apakah peranannya dan ini yang nak disampaikan di majlis amanat ini,” katanya ketika menjadi tetamu rancangan Apa Khabar Malaysia terbitan Bernama TV pada Isnin.
Beliau berkata, orang ramai dijemput hadir memeriahkan majlis itu selain boleh mengikutinya melalui siaran langsung di stesen televisyen tempatan dan di media sosial bagi mereka yang tidak berkesempatan ke PICC.
Zaimy berkata, majlis itu turut diserikan dengan reruai yang menunjukkan kepelbagaian Malaysia serta acara selingan seperti kupasan penceritaan mengenai wira tidak didendang.

Kemuncak sambutan Hari Kebangsaan 2024 bertemakan Malaysia MADANI: Jiwa Merdeka akan berlangsung di Putrajaya pada 31 Ogos ini.