Lebih 161,000 Kanak-Kanak Gaza Diberi Vaksin Polio

PERTUBUHAN Kesihatan Sedunia (WHO) di Gaza telah memberi vaksin polio kepada lebih 161,000 kanak-kanak bawah 10 tahun di kawasan tengah dalam dua hari pertama kempennya berbanding 150,000 yang diunjurkan.

Menurut laporan Reuters, Rik Peeperkorn, wakil WHO untuk wilayah Palestin memberitahu pemberita, kempen itu menyasarkan lebih 640,000 kanak-kanak di bawah umur 10 tahun.

“Sehingga kini keadaan berjalan lancar. Dalam jeda kemanusiaan ini, sehingga kini mereka masih bekerja. Kami masih mempunyai 10 hari lagi,” katanya.

Poliovirus sangat berjangkit dan paling kerap merebak melalui kumbahan dan air yang tercemar masalah yang semakin biasa di Gaza apabila perang Israel-Hamas berlarutan.

Penyakit ini memberi kesan terutamanya kepada kanak-kanak di bawah umur lima tahun yang boleh menyebabkan kecacatan dan lumpuh dan berpotensi membawa maut.

Sementara itu, Ketua Pengarah WHO, Tedros Adhanom berkata, pasukannya komited untuk memastikan tiada kanak-kanak terlepas, walaupun perpindahan berterusan.

Justeru, beliau menyeru semua pihak untuk terus menghormati jeda kemanusiaan.

“Kami terus menyeru untuk keamanan yang berkekalan, supaya kanak-kanak di Gaza boleh mempunyai masa depan yang lebih sihat,” katanya menerusi ciapan di laman X.

Anda Mungkin Berminat