Oleh: Hanim Nadia
PETALING JAYA: Semua Ketua Setiausaha (KSU), Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) dan ketua jabatan diminta meneliti semula dasar, peraturan dan prosedur operasi standard (SOP) yang lama serta lapuk di kementerian, kerajaan negeri serta jabatan masing-masing.
Ketua Setiausaha Negara (KSN), Datuk Seri Shamsul Azri Abu Bakar berkata kesemua perkara yang sudah lapuk berpotensi membuka ruang kepada salah guna kuasa sekali gus membuka peluang kepada penyelewengan dan rasuah.
“Saya memberi perhatian serius berhubung isu tatakelola, salah guna kuasa termasuk kes tatatertib yang membabitkan rasuah dan pecah amanah.
“Dasar, peraturan dan SOP perlu ditambah baik selaras dengan prinsip tatakelola baik iaitu ketelusan, akauntabiliti, kecekapan dan keberkesanan,” katanya menerusi kenyataan di Facebook pada Khamis.
Terdahulu beliau mempengerusikan mesyuarat Jawatankuasa Tatakelola Nasional Bilangan 2/2024 di Putrajaya.
Dalam mesyuarat itu, katanya dibangkitkan juga kes-kes di dalam laporan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang belum diselesaikan dalam tempoh enam hingga 10 tahun di peringkat Kementerian dan agensi.
“Saya telah minta perkara ini diberi perhatian serius kerana ianya boleh menjejaskan tapisan keutuhan dan laluan kerjaya seseorang pegawai,” katanya lagi.