Oleh: Dr Yusri Ibrahim
RAMAI menjangka Barisan Nasional (BN) akan menang mudah pilihan raya kecil (PRK) Mahkota.
Ini kerana jumlah campuran undi sedia ada BN dan Pakatan Harapan (PH) sangat besar.
Jumlah undi BN-PH dalam pilihan raya negeri (PRN) pada Mac 2022 adalah 77 peratus daripada keseluruhan 57 peratus kadar keluar mengundi.
Manakala jumlah undi BN-PH dalam PRU15 pada September 2022 adalah 70 peratus daripada keseluruhan 77 peratus keluar mengundi.
Namun perlu diingat kali terakhir pengundi di Mahkota keluar mengundi adalah pilihanraya umum ke-15 (PRU15) tersebut untuk memilih Ahli Parlimen Kluang.
Pada waktu itu BN hanya sekadar mengumpul 14,834 undi, hampir menyamai yang PN perolehi iaitu 14,794 undi.
Manakala PH jauh di depan dengan 19,520 undi.
Gelombang Hijau
Pada waktu itu, Gelombang Hijau belum memuncak.
Gelombang Hijau memuncak hampir setahun kemudian iaitu semasa pilihanraya negeri (PRN) enam negeri pada Ogos 2023.
Dengan kata lain, jika PRN Ogos 2023 tersebut turut melibatkan Johor, saya menjangkakan PN akan mengumpul lebih undi berbanding BN.
Jangkaan lebihan tersebut adalah hasil ayunan undi BN kepada PN, yang turut terkesan Gelombang Hiijau di Johor walaupun kesannya tidak sebesar di Pantai Timur dan Utara.
Buktinya, semasa mengumpul data kajian PRK Simpang Jeram pada September 2023 setahun yang lepas, ramai pengundi teras BN membuat keputusan mengundi PN.
Ringkasnya, ya, BN berpeluang menang PRK Mahkota seperti jangkaan ramai.
Tapi mesti dengan sokongan pengundi teras PH.
Tanpa sokongan PH, BN berisiko terlepas Mahkota.
Isunya adakah BN akan memperolehi sokongan pengundi PH?
Isunya adakah parti-parti PH benar-benar ingin memenangkan BN di Mahkota?
Sejurus kerusi Mahkota kosong, pemuda UMNO dan pemuda AMANAH telah bertekak, meninggalkan luka agak dalam.
Timbul tanda tanya besar adakah AMANAH akan membantu memenangkan BN atau sebaliknya.
Untuk rekod, AMANAH adalah parti yang menang Mahkota dalam PRU14 tahun 2018, mereka kalah dalam PRN 2022 apabila BN banyak dibantu aura Bossku Najib waktu itu.
Menjelang penamaan calon Sabtu ini, pemuda UMNO Malaysia pula membuka perang dengan DAP apabila menyerang Teresa Kok secara terbuka.
Saya jangkakan jika tidak diurus dengan baik, perang Akmal-Teresa ini akan menjauhkan sokongan pengundi DAP khususnya etnik Cina kepada BN dalam PRK 28 September nanti.
Tanpa sokongan segmen PH-DAP khususnya pemilih etnik Cina, BN akan ditinggal bersendirian untuk bertarung dengan PN di segmen Melayu.
Sedangkan data-data terakhir yang ada menunjukkan kekuatan BN/UMNO tidak begitu meyakinkan untuk hadapi kekuatan PN secara bersendirian.
Kena dengan strategi, PN berpotensi untuk mencuri mimpi indah UMNO di Mahkota, menafikan hipotesis banyak pihak bahawa BN akan menang mudah.
***Penulis adalah pensyarah Program Pengajian Polisi Fakulti Perniagaan, Ekonomi dan Pembangunan Sosial, Universiti Malaysia Terenggu (UMT) dan juga Ketua Penyelidik Ilham Centre