Ulasan | Langkah Interim Reinstament BNM Berjaya Bantu Rakyat Hidupkan Semula Polisi Insurans

Oleh: Sim Tze Tzin

ULASAN | SEJAK langkah interim diperkenalkan oleh Bank Negara, salah satu perkembangan positif adalah kes Reinstatement (Penguatkuasaan Semula Polisi).

Saya ingin berkongsi satu kisah benar yang dikongsikan kepada saya oleh NAMLIFA Wilayah Tengah.

Seorang pemegang polisi, Encik Ravi (bukan nama sebenar), telah mengambil polisi insurans pada tahun 2014, ketika beliau berusia 27 tahun.

Polisi beliau merangkumi perlindungan menyeluruh termasuk insurans hayat, penyakit kritikal, kemalangan diri dan pelan perubatan, dengan premium asal RM200 sebulan.

Namun akibat dua kali semakan semula premium, bayaran bulanan telah meningkat kepada RM273.24 pada tahun 2023.

Sebagai anak lelaki tunggal yang bekerja sebagai penyelia di syarikat logistik, Encik Ravi turut membayar insurans untuk isteri, mendiang ibu dan ayahnya.

Apabila beliau kehilangan pekerjaan semasa pandemik COVID-19, dan pekerjaan baru beliau sebagai pekerja p-hailing tidak memberi pendapatan yang mencukupi, beliau tidak lagi mampu membuat bayaran.

Penambahan RM73 sebulan mungkin kelihatan kecil bagi sesetengah pihak, tetapi bagi beliau, ia menjadi beban yang terlalu berat.

Oleh itu, setelah ‘fund value’ insurans habis akibat pemotongan, Encik Ravi terpaksa melepaskan insurans beliau pada Q4 tahun 2024, dan beliau diserang strok pada masa tiada insurans.

Namun begitu, disebabkan Langkah Interim Bank Negara Malaysia (BNM) yang diperkenalkan oleh Bank Negara, Encik Ravi dapat mengaktifkan semula polisinya dengan bantuan ejen insurans.

Beliau telah menghidupkan semula polisinya tanpa sebarang proses underwriting atau tempoh menunggu, hanya perlu tandatangan borang khas dan bayar 3 bulan premium.

Kini, beliau boleh menggunakan insurans tersebut untuk membuat tuntutan bagi rawatan.

Kisah ini hanyalah satu daripada banyak kisah rakyat Malaysia yang mendapat manfaat dibawah Langkah Interim Bank Negara, tetapi setahu saya, ramai antara mereka yang melepaskan insurans masih tidak tahu bahawa polisi mereka boleh dihidupkan semula di bawah langkah interim.

Hubungi Syarikat Insurans

Saya ingin mengingatkan orang ramai bahawa ‘Reinstatement’ di bawah langkah interim yang diperkenalkan oleh syarikat-syarikat insurans utama, iaitu tempoh untuk memudahkan pemulihan akan tamat pada 30 Jun 2025.

Di sini, saya ingin menyeru mereka yang pernah menamatkan polisi mereka akibat tekanan kewangan atau kenaikan premium, supaya segera menghubungi syarikat insurans masing-masing untuk menyemak kes mereka tentang kemungkinan pemulihan polisi.

Saya juga ingin menyeru syarikat-syarikat insurans utama untuk melanjutkan tempoh tamat selama 60 hari lagi, untuk permohonan ‘reinstatement’ ini dibawah langkah interim ini, supaya lebih ramai yang telah terpaksa manamatkan insurans perubatan mereka ada masa yang mencukupi untuk boleh menghidupkannya semula.

Tempoh ini adalah penting. Polisi yang telah lupus mungkin masih boleh dihidupkan semula tanpa kesan buruk kepada perlindungan sedia ada, tetapi tindakan perlu diambil sebelum tarikh tamat.

Saya juga ingin menyeru ejen-ejen insurans dan rakyat Malaysia untuk berkongsi maklumat penting ini kepada rakan-rakan dan ahli keluarga anda. Jangan tunggu sehingga terlambat.

Saya akan terus bersuara demi pembaharuan sistem insurans perubatan yang lebih adil, telus dan mampu milik. Rakyat perlukan perlindungan, bukan bebanan.

*** Penulis adalah Ahli Parlimen PKR, Bayan Baru.

Anda Mungkin Berminat