Kecoh diesel Bangladesh, realitinya urus niaga Singapura

Oleh: Syahir

ULASAN | Dah datang modal baru “Diesel Malaysia dieksport ke Bangladesh”

Walaupun sebenarnya bukan la baru pun sebab media Bangladesh lebih awal telah melaporkan beberapa kargo “diesel Malaysia” akan sampai ke pelabuhan negara mereka.

Malah media Bangladesh juga melaporkan bahawa “diesel Malaysia” yang mereka beli adalah daripada dua buah syarikat berpengkalan di Singapura iaitu 33,000 tan daripada Unipac Singapore Pte Ltd dan 35,000 tan daripada Vitol yang baru-baru ni membekalkan diesel kepada Filipina.

Maka dengan itu pengeksportan kepada Bangladesh tidak melibatkan PETRONAS mahupun entiti dalam negara kerana kedua-dua pembekal adalah dari Singapura.

Ini perkara biasa kerana Singapura adalah hab perdagangan minyak dunia yang mana ada banyak syarikat-syarikat perdagangan minyak dan gas yang berpengkalan di sana.

Sama seperti isu Filipina berkaitan adakah diesel itu dari Malaysia atau tidak?

Sebenarnya tidak ada isu pun kerana seperti mana Filipina sebahagian besar eksport diesel ke Bangladesh adalah eksport semula (re-export) bermakna minyak tersebut adalah minyak yang diimport dari luar masuk ke dalam negara dan dieksport semula oleh syarikat-syarikat seperti Unipac Singapore, Vitol, Trafigura, Glencore dan lain-lain.

Isu kedua seperti mana yang Eric bangkitkan adalah kenapa Bangladesh boleh jual diesel pada harga murah?

Itu adalah dasar fiskal Kerajaan Bangladesh yang tidak ada kena mengena dengan negara kita.

Kerajaan Bangladesh membeli diesel pada harga pasaran dan menjual kepada pengguna Bangladesh pada harga yang lebih murah dengan memberi subsidi.

Kerajaan Bangladesh mengunjurkan terpaksa membelanjakan 975.42 Bangladeshi Taka (RM39 bilion) untuk mensubsidi bahan api di Bangladesh.

Untuk mengekalkan harga murah kepada rakyat Bangladesh, Kerajaan Bangladesh terpaksa memohon pinjaman sebanyak USD3 bilion daripada pelbagai agensi luar seperti IMF, ADB dan lain-lain untuk membiayai perbelanjaan subsidi tersebut.

Adakah Eric mahu Kerajaan Malaysia meminjam untuk membiayai subsidi minyak di Malaysia?

Nanti Eric juga yang tiap-tiap hari tunjuk tangkap layar hutang Kerajaan bertambah dengan ayat-ayat seperti “pinjaman baru tertinggi dalam sejarah”.

Negara lain mana pulak nak buat modal lepas ni?


***Penulis adalah pemerhati ekonomi dan sentiasa mengulas isu-isu semasa di media sosialnya

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat