Thailand pun takut EV China, tapi Malaysia masih dikata manja

Oleh: Syahir

ULASAN | Dekat Malaysia baru sahaja kecoh-kecoh isu Kerajaan melindungi industri automotif tempatan dalam kenderaan elektrik (EV).

Tetapi di Thailand industri automotif tempatan merayu kepada Kerajaan untuk melindungi mereka daripada dasar yang menggalakkan kemasukan dan kebanjiran EV dari China.

Thailand yang diberikan jolokan “Detroit of Asia” sesuai saiz pembuatan dan eksport kenderaan negara mereka yang besar sering dijadikan penanda aras atau perbandingan dengan industri automotif Malaysia yang didominasi dua jenama tempatan.

Banyak yang cakap Malaysia mungkin akan setanding Thailand jika kedua-dua jenama tempatan itu tidak dilindungi dan pasaran automotif negara dibuka tanpa perlindungan kepada inudstri automotif tempatan.

Dalam isu EV, Thailand juga mengalami “masalah” serupa dengan Malaysia di mana insentif oleh Kerajaan untuk menggalakkan pengguna EV pada peringkat awal seperti pengecualian duti import dan eksais yang menyumbang kepada kenaikan import EV dari China secara mendadak.

Walaupun ada beberapa syarikat pembuat EV sudah membuka kilang CKD di Thailand, mereka menggunakan 100 peratus kandungan dan bahagian dari China tanpa kandungan tempatan.

Malah tidak berlaku pemindahan teknologi dan kepakaran dari China yang berlaku hanya pemasangan di kilang-kilang CKD untuk pemasangan dan syarikat-syarikat EV lebih mengutamakan pengimportan CBU kerana insentif yang diberikan Kerajaan Thai.

Oleh sebab itu industri automotif Thailand yang terdiri 10 persatuan berkaitan automotif mencadangkan 8 cadangan untuk Kerajaan Thai perhalusi sebelum insentif kepada EV tamat pada 31 Disember 2027 kerana kerugian yang mereka perlu tanggung apabila syarikat-syarikat EV China mengutamakan import CBU dan CKD dengan pemasangan 100 peratus kandungan dan bahagian dari China.

Inilah yang menjadi salah satu faktor kenapa MITI mengenakan syarat-syarat dan peraturan baru kepada syarikat-syarikat EV luar negara.

Kalau Detroit of Asia pun perlukan perlindungan daripada Kerajaan, takkan “jaguh kampung” macam Malaysia tak perlu perlindungan?

Mungkin kena tunggu ulasan para pempengaruh automotif Malaysia berkenaan perkembangan terbaru di Thailand ni.


***Penulis adalah pemerhati ekonomi dan sentiasa mengulas isu-isu semasa di media sosialnya

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat