GISB: 13 kanak-kanak pernah diliwat – KPN

Oleh: Hanim Nadia

KUALA LUMPUR: Seramai 13 kanak-kanak penghuni rumah amal Global Ikhwan Service and Business Holding (GISBH) yang diselamatkan dalam Op Global pada Rabu disyaki telah diliwat.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, maklumat awal yang diperoleh pihaknya mendapati hanya empat kanak-kanak terbabit dalam kes kesalahan seksual itu.

“Bagaimanapun, selepas saringan dijalankan di Pusat Latihan Polis, kami mendapati seramai sembilan yang lain dipercayai turut diliwat.

“Setakat ini, kami sedang menyiasat dakwaan liwat terhadap 13 kanak-kanak dalam usia belasan tahun,” katanya pada sidang akhbar di Pulapol pada Jumaat.

Razarudin berkata, saringan dijalankan dengan bantuan daripada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

Katanya lagi, siasatan dijalankan mengikut Seksyen 14 Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2007.

Dalam pada itu, Razarudin menafikan dakwaan pihak polis lewat mengambil tindakan ke atas sebarang laporan berkaitan GISBH.

Katanya, siasatan sudah dilakukan sejak 2011, namun tangkapan hanya dibuat selepas terdapat petunjuk kukuh yang membolehkan tindakan itu dibuat.

Anda Mungkin Berminat