AMANAH Gesa Dunia Kutuk Keras Tindakan AS Cabuli Kedaulatan Venezuela

PETALING JAYA: Parti Amanah Negara (AMANAH) tampil mengecam sekeras-kerasnya tindakan ketenteraan Amerika Syarikat di Caracas, Venezuela yang didakwa membawa kepada penculikan Presiden Nicolas Maduro ke Washington.

Dalam kenyataan media pada Ahad, Presidennya Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, serangan itu bukan sahaja mencabuli kedaulatan sesebuah negara, malah jelas bertentangan dengan prinsip Piagam Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

“Pencerobohan ke atas Venezuela ini juga menyerlahkan sikap Amerika Syarikat yang mengamalkan pemerintahan ‘Barbarian’ dan tidak bertamadun,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau berkata, AMANAH percaya rejim Amerika Syarikat tidak akan bertahan lama kerana kebangkitan rakyat dunia pasti menolak kezaliman dan penindasan yang lahir daripada tindakan yang disifatkan sebagai ‘Barbaric’.

Mohamad Sabu turut menyeru masyarakat antarabangsa agar bersatu mengecam pencabulan kedaulatan tersebut, demi memastikan Amerika Syarikat dan sekutunya tidak lagi bertindak sewenang-wenangnya terhadap negara lain.

Selain itu, AMANAH menzahirkan solidariti bersama rakyat Venezuela dalam menentang segala bentuk imperialisme yang didalangi Washington.

Terdahulu, laporan media antarabangsa menyebut Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump, pada Sabtu telah mengarahkan serangan udara ke atas beberapa sasaran di seluruh Venezuela dan mendakwa berjaya menyingkirkan Presiden Nicolas Maduro.

Anda Mungkin Berminat