PUTERA Mahkota Arab Saudi, Putera Mohammed Salman menegaskan sekali lagi bahawa Arab Saudi tidak akan mengiktiraf Israel tanpa pembentukan negara Palestin yang merdeka.
“Kerajaan tidak akan berhenti dalam usahanya yang gigih untuk menubuhkan negara Palestin yang bebas dengan Baitul Maqdis Timur sebagai ibu negaranya.
“Kami menegaskan bahawa kerajaan tidak akan menjalin hubungan diplomatik dengan Israel tanpa syarat ini.
“Kami memperbaharui penolakan kerajaan dan mengutuk keras terhadap jenayah pendudukan Israel terhadap rakyat Palestin,” kata Putera Mohammed ketika berucap di Majlis Syura, di Riyadh pada 18 September, lapor Reuters.
Dalam ucapannya, Putera Mohammed turut memuji negara-negara yang telah mengiktiraf Palestin sebagai lambang keabsahan antarabangsa dan menyeru negara-negara lain untuk mengambil langkah yang sama.