Politik Stabil Lonjak Ekonomi Negara – PM

Oleh: Hanim Nadia

MIRI: Kestabilan politik bukan sahaja memelihara perpaduan dan keharmonian tetapi mampu melonjakkan ekonomi negara.

Menurut Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, kestabilan politik kini telah berjaya menarik pelabur dengan mencatatkan rekod baharu pelaburan melebihi 18.1 peratus.

“Dua hari lalu Amazon Web Services (AWS) mengadakan adakan jamuan untuk meluncurkan prorgam mereka melabur dalam tempoh lima atau tujuh tahun sebanyak RM2.6 bilion di malaysia

“Pengarah Urusan Asia AWS, Jeff Johnson, dia beritahu faktor pertama ialah keyakinan dia bahawa politik ini adalah stabil, aman,” kata Anwar ketika berucap merasmikan Program Madani Rakyat 2024 Sarawakku Sayang di Miri pada Sabtu.

Katanya lagi, kestabilan politik yang dikecapi sejak dua tahun lepas di Malaysia tidak harus disalah guna oleh pemimpin politik bagi mengukuhkan kedudukan sebaliknya perlu dimanfaat sebagai ruang untuk melaksanakan dasar yang baik untuk rakyat.

Tegas beliau, kestabilan yang membawa kepada pengukuhan nilai mata wang ringgit, pengangguran berkurangan dan inflasi lebih terkawal telah membolehkan kerajaan semasa menumpukan usaha membangunkan rakyat.

“Kadangkala masih ada orang politik yang sudah agak terdesak, yang agak lemas, dia tengok ekonomi berkembang, ringgit kian kukuh, tahap pengangguran berkurangan, peluang pekerjaan meningkat dan inflasi lebih terkawal maka jalan keluar untuk mereka adalah menghasut supaya timbul kebencian antara kaum serta kegelisahan kerana perbedaan faham agama,” katanya.

Anwar berkata, persefahaman kaum di Sarawak yang menjadi asas kepada kestabilan politik di wilayah itu wajar dijadikan contoh untuk negeri lain bagi membolehkan mereka menumpukan kepada usaha pembangunan.

Anda Mungkin Berminat