Majoriti setuju cadangan PM henti subsidi pendidikan golongan kaya

Oleh: Shafira Aziz 

PETALING JAYA: Pengumuman Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim tentang cadangan untuk menghentikan subsidi pendidikan bagi golongan kaya dalam Belanjawan 2025 telah mencetuskan pelbagai reaksi dalam kalangan rakyat. 

Seperti kebiasaan, setiap langkah kerajaan akan mendapat respons berbeza daripada warganet – ada yang menyokong penuh, namun tidak kurang juga yang skeptikal.

Tidak lama selepas pengumuman itu, warganet mula menyatakan pandangan masing-masing di media sosial. 

Menjengah di ruangan komen mengenai cadangan tersebut, sebilangan besar mereka melihatnya sebagai langkah yang bijak. 

“Sokong (kenyataan Anwar) sebab itulah yang layak dapat tapi tak dapat,” komen Izani Black di Facebook.

Pendapat serupa turut diluahkan oleh Salmiah Md Yatim yang berkata sangat bersetuju terhadap keadilan sosial yang diperjuangkan.

Namun, di sebalik sokongan tersebut, terdapat juga suara-suara yang kurang yakin dengan kemampuan kerajaan untuk melaksanakan perubahan tersebut dengan betul. 

“Boleh percaya ke? Silap hari golongan miskin yang kena,” tulis Zamuri Kamil yang kelihatan skeptikal. 

Sementara itu, Semax Semax menyuarakan ketidakpercayaan dengan komen sinisnya, “Buat dulu baru boleh sembang.” 

Manakala, Putra Wwc pula menyindir dengan berkata, “dia nak golongan kaya jadi miskin kot.”

Walau bagaimanapun, lebih ramai yang percaya bahawa niat kerajaan adalah tepat. 

“Setuju sangat. Golongan kaya kena tolong golongan susah dan bawahan. Kalau niat betul, dah tentu rezeki mereka akan bertambah berlipat kali ganda,” kata Star War. 

Sokongan tersebut turut diperkukuh dengan komen Noraziman Ramli yang menyatakan, “Ini baru betul, mantap PMX,” menyatakan keyakinannya terhadap kepimpinan Anwar dalam membawa perubahan yang dinantikan oleh rakyat.

Langkah tersebut, walaupun tidak disenangi oleh semua, jelas mencerminkan usaha kerajaan untuk mengurangkan ketirisan subsidi dan memastikan keadilan sosial yang lebih baik buat rakyat Malaysia, terutamanya golongan yang kurang bernasib baik.

Perdana Menteri menegaskan bahawa subsidi pendidikan harus diberikan kepada golongan yang benar-benar memerlukan, bukan kepada anak-anak golongan elit yang sudah kaya. 

“Anak-anak golongan kaya ke Sekolah Menengah Sains yang dibantu dengan subsidi tinggi kerajaan, harus dihentikan,” ujar Anwar semasa berucap di Simposium Kebangsaan 2024. Beliau menambah bahawa hasil daripada langkah itu akan digunakan untuk membantu rakyat miskin yang lebih memerlukan sokongan tersebut.

Anda Mungkin Berminat