PETALING JAYA: Persidangan International Young Future Leaders Summit (iFUTURE 2025) anjuran Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) diteruskan dengan penyertaan lebih 50 negara dari seluruh dunia, meningkat berbanding 40 negara pada tahun lalu.
Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr. Zambry Abdul Kadir, berkata sambutan luar biasa itu menunjukkan keyakinan terhadap Malaysia sebagai hab pembangunan kepimpinan muda bertaraf antarabangsa.
Majlis pembukaan rasmi disempurnakan oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi, dalam majlis makan malam yang dihadiri 1,000 pemimpin muda terdiri daripada mahasiswa universiti awam dan swasta seluruh negara.
“iFUTURE is not about who will lead the world, but how the world should be led,” katanya dalam ucapan perasmian.
Menurut Zambry, penganjuran kali kedua ini bertujuan melahirkan lebih ramai bakat muda dan pemimpin masa depan yang bukan sekadar berbicara tentang idea besar, tetapi mampu melaksana serta menggerakkan perubahan sebenar.
Tahun ini, iFUTURE memberi tumpuan kepada lima teras utama, dengan penekanan terhadap inovasi, tanggungjawab sosial dan kepimpinan kolektif.
“Leadership is not a solo journey; it is a collective mission,” tegas Zambry dalam satu kenyataan.
Sepanjang persidangan, peserta terlibat dalam pelbagai forum, wacana dan diskusi bersama pemimpin negara, termasuk sesi khas bersama Perdana Menteri pada Isnin.
iFUTURE yang bermula pada 2024 kini menjadi platform global memperkasa generasi muda agar pulang dengan ilmu, inspirasi dan semangat baharu untuk mencipta masa depan dunia yang lebih adil dan berperikemanusiaan.
Baca juga:








