Israel serang kampung di Lubnan, dakwa kubu kuat Hizbullah

LUBNAN: Tentera Israel menyerang Gaza, Lubnan dan Syria awal pagi tadi dengan wilayah Lubnan menjadi sasaran yang paling teruk.

Pencerobohan ke dalam negara berdaulat itu disifatkan melampau dengan tentera Israel menumpukan kampung-kampung di selatan Lubnan kerana mendakwa ia menempatkan infrastruktur tentera Hizbullah, memetik Al-Jazeera.

Dalam pada itu, sekurang-kurangnya lima orang disahkan maut berikutan serangan tentera Israel ke atas kem pelarian Ein al-Hilweh, di bandar selatan Lubnan.

Serangan udara Israel menyasarkan rumah gabungan kumpulan bersenjata Palestin (sejajar gerakan Fatah) iaitu Brigedier Jeneral Munir al-Maqdah dengan Briged Syahid Al-Aqsa di Lubnan.

Serangan pertama Israel ke atas kem pelarian yang sesak dan terbesar di Lubnan itu sejak pertempuran antara Hizbullah dan Israel bermula Oktober tahun lalu.

Ketika ini, Israel meningkatkan intensiti pengeboman mereka dan serangan artileri ke atas bandar dan kampung.

Sementara itu, Hizbullah turut menembak roket ke utara Israel sejak tengah malam tadi dengan 12 serangan berasingan menghala ke arah tentera dan penempatan Israel.

Pasukan itu berkata keupayaan ketenteraan mereka kekal utuh walaupun Israel telah menyasarkan infrastruktur Hizbullah di seluruh negara.

“Apa yang akan kita lihat sekarang ialah apa yang berlaku apabila Israel menyeberangi sempadan dan cuba menduduki bahagian selatan Lubnan dan tindak balas Hizbullah.

“Kekuatan Hizbullah adalah askar mereka, tentera yang mereka ada di darat. Kita akan lihat sekarang jika Israel terperangkap dalam serangan darat ini,” katanya.

Anda Mungkin Berminat