Oleh: Hanim Nadia
PETALING JAYA: Masjid-masjid utama di bawah pentadbiran Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) disaran melaksanakan solat hajat bagi mendoakan kesejahteraan dan keselamatan mangsa tragedi serangan rejim Israel ke atas Gaza, Lubnan, Syria dan Yaman.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Mohd Naim Mokhtar berkata, saranan tersebut terutama kepada Masjid Negara, Masjid Putra, Putrajaya dan Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin, Putrajaya.
“Saranan ini juga kepada masjid, surau Jumaat dan surau seluruh Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan di bawah pentadbiran Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi).
“Semoga usaha ini dapat menunjukkan keprihatinan dan solidariti kepada keamanan dunia,” katanya menerusi kenyataan pada Selasa.
Dalam pada itu Mohd Na’im menegaskan, pihaknya turut mengecam serangan yang dilakukan oleh Israel dan ia perlu dihentikan segera.
“Tragedi ini telah menaikkan kemarahan seluruh dunia,” ujarnya.
Menurut jurucakap PBB, serangan Israel ke atas Lubnan mengakibatkan lebih 200,000 penduduk kehilangan tempat tinggal dengan lebih 100,000 orang daripada jumlah itu melarikan diri ke Syria.
Pejabat PBB untuk Penyelarasan Hal Ehwal Kemanusiaan (OCHA) memberi amaran bahawa bilangan penduduk yang kehilangan tempat tinggal dijangka meningkat berikutan tentera Israel terus mengeluarkan arahan memaksa orang ramai berpindah.