PM Anwar sampaikan khutbah Jumaat di Pusat Kebudayaan Islam New York

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyampaikan Khutbah Jumaat di Pusat Kebudayaan Islam New York (ICCNY).

Anwar merupakan pemimpin asing pertama diberi penghormatan menyampaikan khutbah Jumaat oleh masjid pertama di New York ini yang dibuka pada 25 September 1995.

Anwar sebelum itu menyampaikan Kenyataan Negara sempena Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNGA) ke-78.

Dalam khutbahnya yang disampaikan, Anwar berkongsi pengalaman Malaysia dalam menguruskan masyarakat berbilang kaum dan agama.

“Saya dapat berkongsi pengalaman Malaysia dalam menguruskan masyarakat berbilang kaum dan agama sekali gus dapat hidup rukun damai dan harmoni,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook.

Pada masa yang sama, Perdana Menteri berkata, umat Islam perlu mengukuhkan perpaduan sesama mereka, serta memperoleh maklumat dan pengetahuan.

Anwar turut mengambil kesempatan untuk menjelaskan konsep ‘Malaysia Madani’ yang diperkenalkannya di Malaysia serta ancaman Islamofobia di seluruh dunia.

“Saya mengambil kesempatan ini juga untuk menjelaskan konsep Malaysia Madani yang diperkenalkan di Malaysia serta menyentuh ancaman Islamofobia di seluruh dunia yang memerlukan kesepakatan umat untuk menoktahkannya,” katanya.

Imam pusat itu, Saad Jalloh berkata, ini merupakan detik bersejarah bagi pusat itu, menerima kehadiran Anwar dan rombongannya kerana menurutnya Anwar merupakan pemimpin pertama melawat masjid berkenaan.

Anwar juga diberi peluang untuk memimpin ‘shahadah’ seorang lelaki yang dikenali sebagai Andrew Vinals, yang memeluk Islam selepas solat Jumaat.

Perdana Menteri turut menyampaikan sumbangan al-Quran kepada pihak ICCNY bagi kegunaan komuniti Islam di sana.

ICCNY adalah sebuah organisasi agama dan budaya Islam yang ditubuhkan pada awal tahun 1960-an. Rancangan asal pusat ini adalah menjadi institusi Muslim yang terdiri daripada sebuah masjid, sekolah, perpustakaan, dewan ceramah, muzium, dan rumah untuk Imam.

Objektifnya termasuk melayani komuniti Muslim di Manhattan khususnya dan keseluruhan komuniti Muslim Amerika secara umum.

Antaranya, untuk keperluan keagamaan mereka dan menyediakan tempat ibadah, kelas untuk membantu mereka dan anak-anak mempelajari pengetahuan terperinci tentang agama mereka, Islam dan mencerahkan pendapat awam Amerika Syarikat dengan pengetahuan sebenar mengenai Islam.

Anda Mungkin Berminat