Unik sentuhan jiwa Zubir Khan

Oleh: Haikal Tajuddin

SEORANG bintang yang berani memecahkan kebiasaan, Zubir Khan, muncul dengan single terbaharunya yang berjudul, Unik yang telah diluncurkan pada 30 September lalu.

Zubir atau nama sebenarnya, Muhammad Zubir Mohamad Ali, 24, mencipta kelainan menerusi single terbaharunya yang berbahasa Melayu serta gabungan bahasa Tamil yang cukup sinonim dengannya.

Menariknya, lagu tersebut telah berjaya meraih 80,000 tontonan dalam masa dua minggu sahaja sejak tarikh yang dilancarkan.

“Unik” bukan sekadar sebuah lagu, tetapi ia sebuah karya seni yang mencerminkan keistimewaan dan keyakinan diri.

Setiap bait lirik yang penuh makna dan melodi yang menarik, Zubir mengajak pendengar muzik untuk meraikan keistimewaan dan keyakinan diri yang berkait dengan keunikan seseorang itu.

“Lagu ini merupakan langkah untuk meraikan keistimewaan dan keyakinan diri dengan menggabungkan musik pop dan urban dengan lirik pelbagai bahasa.

“Ia juga menghargai betapa istimewanya seseorang yang berbeza dalam dunia yang sering mahu semua orang sama,” jelas Zubir.

Lirik “Unik” merujuk pada sesuatu yang memiliki ciri khas atau keistimewaan yang membezakan diri dari yang lain.

Ia adalah cerminan sifat, karakter dan bentuk yang jarang ditemui dalam lagu-lagu lain.

Zubir yang mampu berbahasa Tamil percaya bahawa kekurangan bukanlah penghalang untuk terus berkembang dan belajar dalam bidang nyanyian.

Pihak produksi muzik, XO House Malaysia turut memberi sokongan penuh dan berasa bangga dengan kejayaan Zubir terhadap single terbaru ini.

Lagu “Unik” boleh didapati di pelbagai platform muzik termasuk Spotify, Apple Music, YouTube Music dan iTunes.

Terdahulu, Zubir Khan dan Ezra Kairo telah bekerjasama dan meluncurkan lagu berjudul OMK (Oh My Khadale) pada 17 Mei lalu.

Anda Mungkin Berminat