KPM perhebat usaha pastikan tiada calon SPM tercicir


Oleh: Shafira Aziz

PARLIMEN | Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) komited memastikan calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tidak terpinggir daripada sistem pendidikan.

Timbalan Menteri Pendidikan, Wong Kah Woh berkata, walaupun terdapat 10,160 pelajar yang tidak hadir SPM pada tahun 2023, jumlah tersebut menunjukkan penurunan ketara berbanding 14,858 pelajar pada 2022.

“KPM sedang meneliti punca ketidakhadiran, termasuk faktor bekerja, masalah keluarga dan isu kesihatan, agar intervensi lebih berfokus dapat dilaksanakan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan daripada Ahli Parlimen Baling, Hassan Saad mengenai usaha KPM dalam memastikan pelajar yang tidak hadir SPM tidak tercicir daripada sistem pendidikan.

Tambahnya, untuk memastikan tiada pelajar tercicir, kementerian telah memperkenalkan beberapa inisiatif baharu dan memperkasakan program sedia ada.

Ia termasuk menubuhkan Jawatankuasa Khas Gempur Kehadiran SPM 2024/2025 dan melaksanakan pentaksiran psikometrik untuk membantu pelajar mengenali kekuatan diri dalam membuat keputusan.

Selain itu, Program Minda Sihat dan sesi Ziarah Cakna turut diperhebat bagi merapatkan hubungan dengan ibu bapa, di samping kerjasama dengan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) serta pihak komuniti dan swasta.

Kerajaan juga menjalankan inisiatif Program Anak Kita: Semarak Potensi Malaysia bersama Yayasan Hasanah dan Unit Pantau Madani bagi membantu pelajar menerusi Program Pecutan SPM.

Di samping itu, Sistem e-Profil Kerjaya Murid digunakan untuk memantau hala tuju lepasan SPM dan merancang program kesedaran serta bimbingan kerjaya bagi mereka.

“Kami yakin dengan usaha berterusan dan sokongan semua pihak, pelajar yang tercicir dapat dibimbing semula ke landasan yang betul,” tambah Wong.

Anda Mungkin Berminat