Belanjawan 2025: RM230 juta lonjak pembangunan sukan negara

Oleh: Haikal Tajuddin

PARLIMEN: Kerajaan mengambil langkah besar dalam memperhebatkan pembangunan sukan negara dengan menyediakan peruntukan lebih RM230 juta menerusi Belanjawan 2025.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang juga merupakan Menteri Kewangan, menyatakan bahawa perancangan itu bertujuan menyokong program-program sukan seperti podium, latihan dan Road to Gold (RTG), di samping meningkatkan kemudahan belia dan sukan.

“Peruntukan ini selaras dengan kerja-kerja penyelenggaraan dan membaiki kemudahan belia dan sukan seluruh negara.

“Geran ini juga dijadikan sebagai padanan sukan untuk menggalakkan penganjuran pertandingan sukan oleh persatuan dan badan bukan kerajaan (NGO),” kata Anwar.

Dalam pada itu, bagi menyokong pembangunan sukan bola sepak, RM15 juta diperuntukkan kepada Pasukan Harimau Malaya bagi mendapatkan jurulatih terbaik serta ganjaran yang setimpal dengan pemain.

“Saya melihat mereka mencerminkan semangat perpaduan serta kelebihan kita sebagai masyarakat berbilang kaum dan agama yang boleh memperjuangkan kejayaan bersama,” tambahnya.

Selain itu, Anwar turut mengumumkan bahawa Selangor Red Giants telah bergelar juara dunia bagi e-Sport World Cup.

Sebagai langkah sokongan, kerajaan mencadangkan pengecualian cukai pendapatan diberikan ke atas ganjaran hadiah wang tunai kemenangan sukan yang diterima oleh atlet melalui Skim Hadiah Kemenangan Sukan.

Pada Belanjawan 2024, kerajaan memperuntukkan RM72 juta bagi menambah baik dan memperkukuhkan ekosistem atlet bagi Program Podium termasuk RM20 juta untuk pelaksanaan Road to Gold (RTG) serta RM12 juta diperuntukkan untuk atlet para.

Selain itu, RM30 juta juga diperuntukkan untuk menggalakkan syarikat atau studio permainan video antarabangsa melabur di Malaysia dalam pembangunan produk digital mereka bersama bakat tempatan, bagi mempromosi Malaysia sebagai hab pembangunan industri e-Sukan.