Guna Myvi seludup 70 kotak ayam sejuk beku

Oleh: Hanim Nadia

KOTA BHARU: Sebanyak 70 kotak ayam sejuk beku bernilai RM10,500 yang dipercayai diseludup masuk dari Thailand menggunakan kereta Perodua Myvi dirampas Pasukan Gerakan Am (PGA) di Cabang 3 Tok Deh, Pasir Mas pada Sabtu.

Menurut hantaran PGA di laman Facebook, tangkapan dan rampasan dilakukan oleh sepasukan anggota BN 7 PGA pada jam 8 pagi selepas menahan kereta tersebut yang dipandu oleh seorang lelaki berusia 23 tahun dalam keadaan mencurigakan.

Hasil pemeriksaan mendapati pelbagai bungkusan ayam sejuk beku yang dipercayai diseludup dari Thailand ditemui di dalam kereta tersebut tanpa dokumen yang sah.

“Ayam sejuk beku tersebut dipercayai untuk diseludup masuk ke pasaran tempatan.

“Kes disiasat dibawah Seksyen 4(1) Akta Makanan 1983 dan barang rampasan diserahkan ke Balai Polis Rantau Panjang untuk tindakan selanjutnya.

“PGA akan terus mempergiatkan usaha bagi mengekang kegiatan penyeludupan dari terus berleluasa di sempadan negara,” katanya.

Anda Mungkin Berminat