CEO GISBH, 21 individu fail representasi ke Jabatan Peguam Negara

Oleh: Hanim Nadia

SELAYANG: Peguam GISBH, Datuk Rosli Kamaruddin memaklumkan bahawa Ketua Pegawai Eksekutif GISBH, Datuk Nasiruddin Mohd Ali dan 21 individu lain yang didakwa di bawah Seksyen 130V(1) Kanun Keseksaan di Mahkamah Sesyen akan memfailkan representasi kepada Jabatan Peguam Negara (AGC).

Bagaimanapun, beliau dan pasukan pembelaan masih menunggu arahan daripada anak guamnya itu.

“Kami menunggu arahan seterusnya daripada anak guam untuk bentuk representasi yang akan difailkan.

“Sehingga kini, mereka hanya didakwa atas satu pertuduhan iaitu terbabit dengan jenayah terancang.

“Kita tidak tahu jika masih ada siasatan tambahan dan arahan untuk mendakwa lagi selepas ini,” katanya kepada pemberita di perkarangan mahkamah pada Rabu.

Rosli berkata, pembelaan boleh menghantar representasi berulang kali dan rayuan kepada pihak pendakwaan untuk dipertimbangkan.

Bagaimanapun, ia bergantung kepada bidang kuasa Jabatan Peguam Negara.

Mengulas mengenai pertuduhan hari ini, jelas Rosli lagi, pihaknya masih menanti sama ada terdapat pertuduhan lain dikenakan terhadap anak guamnya.

“Sebelum ini Ketua Polis Negara (KPN) menyatakan bahawa mereka sedang menyiasat mengikut sepuluh akta bermakna ada 10 skop siasatan, namun hari ini kita dapati hanya ada satu pertuduhan.

“Kita juga belum menerima maklumat sama ada kesemua 22 orang tertuduh akan didakwa di bawah Akta Seksual Kanak Kanak. Kami harap tidak,” katanya.

Anda Mungkin Berminat