Oleh: Kamilia Ali
PETALING JAYA: Tindakan Jemaah Pengarah Pertubuhan Peladang kebangsaan (NAFAS) mengeluarkan kenyataan penggantungan jawatan Pengurus Besar sama sekali tidak wajar.
NAFAS dalam satu kenyataan hari ini memaklumkan keputusan pada 22 Oktober itu tidak boleh dikuatkuasakan sehingga satu pertimbangan dan keputusan muktamad dikeluarkan oleh pendaftar.
“Sebarang aduan atau dakwaan ke atas Pengurus Besar NAFAS hendaklah dirujuk terlebih dahulu kepada pendaftar sebelum sesuatu keputusan itu boleh dilaksanakan sepertimana yang termaktub dalam Seksyen 7(1) Akta Pertubuhan Peladang 1973 (Akta 109).
“Sehingga kenyataan ini dikeluarkan, pendaftar NAFAS belum menerima sebarang laporan rasmi berkaitan penggantungan tugas Pengurus Besar NAFAS daripada Pengerusi Jemaah Pengarah NAFAS,” jelasnya pada Rabu.
Sementara itu, Pengurus Besar NAFAS, Muhammad Faris Ariffin mengambil maklum berkenaan kenyataan media yang dibuat oleh beberapa Ahli Jemaah Pengarah NAFAS.
“Tuduhan yang dikemukakan telah dibuat sebelum sebarang proses semakan dalaman dimulakan. Sepanjang tempoh kepimpinan saya, setiap inisiatif yang dilaksanakan di NAFAS adalah selaras dengan agenda reformasi kerajaan.
“Keputusan untuk mengeluarkan kenyataan ini sebelum memulakan proses dalaman yang sewajarnya telah memberi kesan kepada perkembangan reformasi ini,” katanya menerusi satu kenyataan.
Justeru, beliau turut memberi keutamaan untuk terus menegakkan prinsip tadbir urus yang baik serta beliau yakin bahawa NAFAS akan terus beroperasi dengan integriti demi kepentingan semua pihak.