Tiada dalil sokong dakwaan Rasulullah terima gaji 20 peratus – Amanah Kelantan


Oleh: Shafira Aziz

PETALING JAYA: Dakwaan bahawa Rasulullah SAW menerima ganjaran sebanyak 20 peratus sebagai ‘gaji’ daripada Allah SWT sebenarnya mengelirukan, kata Naib Pengerusi 1 Parti Amanah Negara (Amanah) Kelantan, Che Ibrahim Mohamed.

Beliau menyatakan bahawa tidak terdapat dalil atau bukti sahih yang menyokong idea bahawa Rasulullah atau sahabat-sahabat Baginda menerima upah tetap sepanjang perjuangan mereka menyebarkan agama Islam.

Menurut Che Ibrahim, konsep gaji sebenarnya hanya diperkenalkan oleh Khalifah Saidina Umar RA semasa pemerintahannya, dimana umat Islam ketika itu lebih bergantung kepada sumber harta dari sedekah, zakat atau “al-ghanimah” dan “al-fae’i.”

“Al-ghanimah merujuk kepada harta rampasan dari orang bukan Islam yang diperolehi dalam peperangan, manakala al-fae’i adalah harta yang diperoleh tanpa peperangan, tetapi juga bukan milik umat Islam sebelumnya,” jelasnya.

Beliau turut merujuk Surah Al-Anfaal ayat 41 yang menyebut

“Bahawasanya harta yang kamu rampas melalui perang itu, maka hendaklah dibahagikan satu perlima daripadanya untuk Allah, Rasulnya, kaum kerabat, anak-anak yatim, orang-orang miskin dan ibnu sabil.”

“Menurut ulama, ayat ini menyatakan pembahagian hasil perang (ghanimah) kepada beberapa pihak dengan hanya satu perlima bahagian yang diperuntukkan kepada Allah dan Rasul-Nya serta kegunaan umum.

“Rasulullah SAW juga hanya mengambil sebahagian kecil untuk maslahah umat, bukan sebagai pendapatan peribadi.

“Dakwaan Rasulullah menerima 20 peratus ganjaran dari Allah adalah mengelirukan,” katanya.

Penjelasan ini, tambahnya, penting bagi mengelakkan salah tanggapan terhadap peribadi Rasulullah SAW yang menjalankan tugas kenabian tanpa mengharapkan sebarang upah atau gaji rasmi.

Semalam, Ahli Parlimen Marang, Tan Sri Abdul Hadi Awang membuat sindiran terhadap Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dengan menggambarkan seseorang yang berusaha untuk kelihatan lebih baik daripada Nabi Muhammad.

Walaupun tidak menyebut nama Anwar secara langsung, Presiden Parti Islam Se-Malaysia (PAS) itu mengarahkannya kepada ‘individu’ yang cuba menunjukkan kesolehan dengan menolak gaji.

“Allah memberi 20 peratus kepada Nabi Muhammad. Ada hak untuk Nabi dan keluarganya, (tetapi Baginda) menggunakan hak tersebut untuk membantu dan mendahulukan orang lain, seperti mereka yang tinggal di kawasan pedalaman dan orang musafir yang memerlukan bantuan.

“Tetapi ada individu yang ingin menunjukkan lebih daripada Rasulullah dengan menolak gaji. Itu cerita yang berbeza,” katanya ketika berucap dalam sesi perbahasan Dewan Rakyat semalam.

Anda Mungkin Berminat