Oleh: Tyah Helmi
PETALING JAYA: Negara perlu keluar dari kepompong perangkap kelas perpendapatan pertengahan dengan menetapkan hala tuju ke arah ekonomi bernilai tinggi berasaskan teknologi dan digital.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam satu ucapan berkata, tapak ekonomi negara kian kukuh dan beliau mahu momentum itu dapat diteruskan menerusi pelaksanaan dasar transformasi digital secara menyeluruh.
“Apabila negara ini sudah meletakkan asas ekonomi yang lebih meyakinkan, ia perlu disusuli dengan hala tuju yang jelas supaya Malaysia tidak terus terperangkap sebagai negara berpendapatan pertengahan.
“Kita melihat perkembangan negara lain yang pada awalnya pesat membangun, namun akhirnya tersangkut di satu peringkat.
“Justeru, kerajaan merangka beberapa dasar penting menerusi pelan perindustrian dan transformasi digital,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Seberang Perai Aspire Centre dan Program Santuni Komuniti di pekarangan bangunan Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP), Pulau Pinang pada Ahad.
Beliau yang juga Menteri Kewangan berkata, Malaysia kini semakin menonjol sebagai destinasi pelaburan utama dalam sektor teknologi tinggi, termasuk semikonduktor dan kecerdasan buatan (AI).
Sehubungan itu katanya, perkembangan itu meletakkan Malaysia pada kedudukan strategik namun memerlukan lonjakan keupayaan modal insan melalui latihan kemahiran, peningkatan kemahiran dan pemahiran semula bagi memastikan rakyat mendapat manfaat yang sebaiknya.
Baca juga:








