Oleh: Shafira Aziz
PETALING JAYA: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, mengucapkan tahniah kepada Donald Trump atas kejayaannya memenangi pilihan raya Presiden Amerika Syarikat (AS), sekaligus kembali mengemudi negara kuasa besar tersebut.
Anwar menyatakan harapan bahawa kemenangan Trump membawa peluang baharu untuk memperkukuh hubungan strategik antara Malaysia dan Amerika Syarikat dalam pelbagai bidang.
“Amerika Syarikat kekal sebagai sumber utama pelaburan asing bagi Malaysia dan merupakan pemain utama di rantau Asia-Pasifik,” katanya dalam kenyataan.
Tambahnya lagi, selaku Pengerusi Persatuan Negara-negara Asia Tenggara (ASEAN) pada 2025, Malaysia berharap agar Amerika Syarikat memperkuat komitmennya di rantau Asia Tenggara demi kestabilan dan kemakmuran bersama.
Selain mengukuhkan kerjasama ekonomi, Anwar turut menyeru Amerika Syarikat untuk menggunakan pengaruhnya dalam membantu menyelesaikan konflik yang berlanjutan, terutamanya di Palestin dan Ukraine.
“Kami mendesak agar Amerika Syarikat mengambil langkah berkesan untuk menghentikan keganasan yang membimbangkan di Palestin dan Ukraine,” tambahnya.
Untuk rekod, Trump selaku calon Republikan menang pilihan raya presiden AS 2024, mengalahkan pencabarnya, Kamala Harris dari parti Demokrat.
Trump menang dengan undi elektoral sebanyak 277 manakala Harris hanya mampu meraih sebanyak 224 undi elektoral.