Mimpi bertemu Rasulullah, tidak perlu diuar-uarkan elak fitnah – Nooh Gadut

Oleh: Hanim Nadia

PETALING JAYA: Mimpi bertemu Rasulullah SAW adalah anugerah Allah, namun ianya bukan dalil syarak dan tidak boleh dijadikan hujah untuk menetapkan sesuatu hukum.

Pengerusi Jawatankuasa Muzakarah, Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam (MKI), Datuk Dr Nooh Gadut menerusi satu kenyataan menegaskan bahawa mimpi bertemu Rasulullah seeloknya tidak diwar-warkan kepada umum.

“Ia bagi mengelakkan sifat riya’, ujub dan takabbur yang boleh mendatangkan fitnah dan kekeliruan kepada masyarakat awam,” katanya.

Nooh menjelaskan bahawa tafsiran dan takwil mimpi hanya boleh dipelajari oleh golongan yang diberi kelebihan, keistimewaan, keilmuan, hikmah dan basirah (pandangan mata hati) oleh Allah SWT untuk mengetahui rahsia-rahsiaNya.

“Muzakarah memutuskan bahawa mimpi seorang nabi dan rasul adalah wahyu yang menjadi hukum yang benar dan mimpi orang ramai di zaman Rasulullah SAW seperti melihat Baginda dalam tidur menyamai melihat Rasulullah dalam masa jaga adalah khusus di zaman semasa Baginda masih hidup,” tambahnya.

“Muzakarah turut memutuskan bahawa mimpi orang Islam selepas wafatnya Rasulullah akan berjumpa di akhirat nanti dan mendapat syafaat, mimpi orang Islam ada tiga peringkat.

“Iaitu bisikan jiwa, godaan syaitan dan mimpi khabar gembira dari Allah, manakala mimpi orang bukan Islam adalah ditolak dan mimpi orang awam bukan hujah terhadap satu hukum atau berita atau satu kenyataan,” katanya.

Terdahulu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Mohd Na’im Mokhtar dilaporkan telah meminta Nooh untuk memberikan penjelasan kepada masyarakat berkaitan isu mimpi bertemu Nabi Muhammad SAW.

Sebelum ini, rakaman video ucapan Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang yang menceritakan bagaimana Nabi Muhammad SAW datang ke Rusila di Marang, Terengganu dan meminta beliau mendamaikan perbalahan antara golongan Sunni dan Syiah telah tular.

Kisah mimpi bertemu Rasulullah SAW itu mendapat reaksi pelbagai, antaranya Ketua Penerangan PAS, Ahmad Fadhli Shaari yang menegaskan PAS memilih untuk percaya terhadap cerita mimpi itu.

Anda Mungkin Berminat