PETALING JAYA: Dua mangsa yang cedera dalam nahas membabitkan lima kenderaan di Simpang Renggam, Johor, menjadi penerima pertama manfaat di bawah Skim Kemalangan Bukan Bencana Kerja (SKBBK) atau Lindung 24 Jam yang mula berkuat kuasa semalam.
Mereka ialah Husnizam Hisamudin, 43, dan Muhammad Amirul Hazim Misnon, 22, yang disahkan sebagai pencarum aktif di bawah Akta Keselamatan Sosial Pekerja 1969 (Akta 4), sekali gus layak menerima pelbagai faedah disediakan Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO).
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan PERKESO, Datuk Seri Dr Mohammed Azman Aziz Mohammed, berkata kedua-dua mangsa layak menerima bayaran faedah cuti sakit dan faedah hilang upaya kekal, selain kemudahan rawatan, implan, peralatan pemulihan serta rehabilitasi mengikut keperluan.
“Maklumat awal perubatan menunjukkan Husnizam mengalami kecederaan pada bahu dan tangan, manakala Muhammad Amirul cedera di bahagian mulut,” katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.
Beliau berkata, ramai memahami bahawa perlindungan PERKESO sebelum ini meliputi kemalangan yang berlaku di tempat kerja atau ketika menjalankan tugas, namun Lindung 24 Jam memperluaskan perlindungan kepada kemalangan yang berlaku di luar skop pekerjaan termasuk pada hari cuti.
“Melalui Lindung 24 Jam, perlindungan sosial kini diperluaskan kepada kemalangan yang berlaku di luar skop pekerjaan termasuk pada hari cuti,” katanya.
Menurut beliau, tragedi itu membuktikan musibah boleh berlaku pada bila-bila masa tanpa mengira waktu dan lokasi, justeru skim baharu berkenaan memastikan pencarum serta keluarga mereka terus mendapat perlindungan sewajarnya ketika berdepan kesukaran.
Dalam perkembangan sama, waris kepada tiga mangsa yang maut dalam kemalangan itu turut layak menerima faedah di bawah Akta Keselamatan Sosial Pekerja 1969 menerusi perlindungan Lindung Pekerja.
Mohammed Azman berkata, sejurus kejadian berlaku, Skuad PERKESO Prihatin digerakkan bagi menyemak maklumat semua mangsa serta menghulurkan bantuan kepada mereka yang layak.
“Pelaksanaan Lindung 24 Jam menutup kelompangan perlindungan yang wujud sebelum ini dan memastikan pencarum dilindungi tanpa mengira waktu serta lokasi kejadian,” katanya.
Beliau turut merakamkan ucapan takziah kepada keluarga mangsa yang terkorban dan berharap bantuan yang disalurkan dapat meringankan beban mereka.
Katanya, setiap caruman yang dibuat pencarum akan dimanfaatkan bagi membantu mereka yang ditimpa musibah, sekali gus memperkukuhkan jaringan keselamatan sosial negara.
Baca juga:








