Jenazah Empat Mangsa Nahas Simpang Renggam Disemadi Dalam Satu Liang Lahad

DUNGUN: Suasana penuh hiba menyelubungi Tanah Perkuburan Islam Bandar Al Muktafi Billah Shah pagi ini apabila empat ahli keluarga yang terkorban dalam nahas jalan raya di Simpang Renggam, Johor, selamat dikebumikan dalam satu liang lahad.

Mangsa yang disemadikan ialah Mohd. Aiman Mohd. Rashid, 36, isterinya Nor Azlina Abd. Latif, 33, ibu mentuanya Semek Mat Soh, 73, serta anak saudara mereka, Nur Airish Syifa Sidek, 10.

Kesemua jenazah dibawa pulang dari Hospital Enche’ Besar Hajjah Kalsom dan tiba di Masjid Sultan Mahmud Bandar Al Muktafi Billah Shah sekitar pukul 8.35 pagi sebelum disolatkan.

Solat jenazah yang dihadiri lebih 100 jemaah itu dipimpin oleh Imam Maliki Saidi.

Proses pengebumian selesai kira-kira pukul 10.40 pagi dengan kehadiran lebih 200 ahli keluarga, saudara-mara dan kenalan yang datang memberikan penghormatan terakhir.

Kesedihan jelas terpancar apabila ramai hadirin tidak dapat menahan sebak mengenangkan kehilangan insan tersayang.

Lebih menyayat hati, keempat-empat jenazah itu disemadikan bersebelahan pusara bapa Mohd. Aiman, Mohd. Rashid Dolah, yang meninggal dunia kira-kira dua minggu lalu.

Dalam kejadian sekitar pukul 1 petang semalam, empat sekeluarga tersebut maut selepas kenderaan yang dinaiki mereka terbabit dalam kemalangan melibatkan lima buah kenderaan di Jalan Renggam–Simpang Renggam berhampiran Penjara Simpang Renggam, Johor.

Anda Mungkin Berminat