PROGRAM sambutan hari jadi atau aktiviti bertemakan bunian, mistik dan alam ghaib yang tular kebelakangan ini dibimbangi boleh mendorong kepada unsur khurafat serta kepercayaan yang bercanggah dengan ajaran Islam.
Rektor Universiti Islam Antarabangsa Tuanku Syed Sirajuddin (UniSIRAJ), Profesor Dr. Rozaimi Ramle berkata, Jawatankuasa Fatwa Negeri Perlis sebelum ini telah mengeluarkan fatwa berkaitan penganjuran program berbentuk alam mistik seperti rumah hantu dan seumpamanya.
Menurut beliau, fatwa yang dikeluarkan pada tahun 2023 itu menjelaskan bahawa alam jin dan syaitan sememangnya wujud, namun umat Islam dituntut untuk berlindung daripada kejahatan mereka serta mengelakkan unsur khurafat yang boleh merosakkan akidah.
“Termasuk dalam khurafat mistik ialah mempercayai roh orang yang telah mati pulang atau berkeliaran mengganggu orang hidup.
“Maka penganjuran atau program rumah hantu yang menimbulkan unsur khurafat atau ketakutan melampau kepada seseorang, merendahkan maruah diri atau menyebabkan kemudaratan adalah diharamkan di sisi syarak,” katanya menerusi hantaran di Instagram pada Isnin.
Beliau berkata demikian ketika mengulas penularan sebuah program sambutan hari jadi bertemakan bunian dan mistik yang dikatakan berlangsung di Kelantan baru-baru ini.
Bagaimanapun, katanya, fatwa berkenaan turut menjelaskan bahawa penganjuran program yang memberi pengetahuan mengenai alam jin atau syaitan berdasarkan dalil yang sahih tanpa unsur khurafat adalah dibenarkan.
Selain itu, aktiviti yang mengandungi elemen hiburan juga tidak menjadi halangan selagi tidak menimbulkan kepercayaan yang salah dalam kalangan masyarakat.
Sehubungan itu, Rozaimi menggesa orang ramai supaya melaporkan kepada pihak berkuasa sekiranya terdapat penganjuran rumah hantu atau aktiviti seumpamanya yang mengandungi unsur bercanggah dengan syarak.
Terdahulu, tular di media sosial mengenai sebuah sambutan hari jadi yang menggunakan tema bunian dan alam mistik sehingga mencetuskan pelbagai reaksi dalam kalangan netizen.
Baca juga:








