Penyanyi Jeryl Lee Pei Ling, 23, membanggakan negara apabilaapabila dinobat juara program realiti TV, The Next 2023 di China, Sabtu lalu.
Jeryl yang berasal dari Pulau Pinang mengalirkan air mata kegembiraan ketika diumum pemenang dan menyifatkan pengalaman itu di luar jangkaannya.
“Rasa macam mimpi. Setiap kali rasa mahu mengalah, saya beritahu diri sendiri untuk terus cekal.
“Kali ini, saya boleh cakap dengan yakin saya berjaya lakukannya. Saya takkan hampakan anda semua,” katanya.
Jeryl menyifatkan The Next 2023 adalah pertandingan terbaik pernah disertainya.
Dia tidak ketinggalan mengucapkan terima kasih dan penghargaan kepada jurulatih, kareografer dan pasukan produksi yang tidak putus-putus memberinya semangat ketika bertanding.
Menurutnya, sesiapa sahaja berhak menggapai impian dan tidak sepatutnya berputus asa mengejar cita-cita.
“Apa saja yang anda impikan untuk capai, beranikan diri dan kejarlah. Jangan gentar atau putus harapan dengan mudah.
“Kalau saya boleh lakukannya, anda pun boleh,” katanya.
Hantarannya mengenai kemenangannya itu dimuat naik dalam Instagram mendapat pujian rakan artis termasuk Vanessa Reynauld, Choo Hao Ren dan Priscilla Abby.
Jeryl mula berjinak dalam nyanyian sejak berusia lapan tahun.
Dia juga sudah mencuba nasib dalam pelbagai pertandingan di China.
Dia pernah memenangi pertandingan nyanyian remaja, Water Cube Cup China pada 2014 dan namanya kian popular sejak 2016 selepas menjadi finalis program Sing! China.