Kunjungan delegasi Taliban hanya diplomasi inklusif, Wanita PKR beritahu Guan Eng

PETALING JAYA: Malaysia menegaskan komitmen terhadap diplomasi konstruktif dan inklusif, kata Sangetha Jayakumar dalam merespons pertikaian yang cuba dibangkitkan Pengerusi DAP, Lim Guan Eng berhubung kunjungan baru-baru ini oleh delegasi Taliban.

Menurut Sangetha yang juga Naib Ketua Wanita Parti Keadilan Rakyat (PKR), kunjungan itu dilihat sebagai peluang untuk membina hubungan diplomatik yang pragmatik dan memupuk keamanan sejagat dan bukannya sokongan ideologi.

Beliau menjelaskan bahawa Malaysia berpegang kepada prinsip penglibatan diplomatik berbanding pengasingan.

“Malaysia mempunyai tradisi yang panjang dalam berinteraksi dengan negara-negara yang memiliki spektrum politik berbeza termasuk autokrasi, negara komunis dan model tadbir urus yang berbeza.

“Taliban kini merupakan kerajaan de facto Afghanistan. Malaysia, sebagai anggota bertanggungjawab dalam komuniti antarabangsa, mematuhi norma diplomatik yang memudahkan hubungan kerajaan-ke-kerajaan (G2G).

“Hubungan ini membolehkan komunikasi terbuka, pemahaman bersama, dan ruang untuk dialog konstruktif yang pragmatik, khususnya dalam isu-isu penting seperti pendidikan manusiawi, bantuan kemanusiaan dan hak wanita,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Dalam perbincangan bersama wakil Afghanistan itu, Sangetha berkata, Malaysia berpeluang berkongsi nilai-nilai kesederhanaan, inklusiviti dan kemajuan dalam bidang seperti pendidikan dan kesetaraan gender.

“Platform sebegini boleh menyemai benih reformasi serta menunjukkan alternatif dalam menghormati kepelbagaian dan memperkasakan wanita sambil mengekalkan identiti budaya dan agama,” katanya.

Terdahulu, Lim Guan Eng meminta penjelasan Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek mengenai lawatan rombongan satu kementerian daripada Afghanistan pimpinan Taliban baru-baru ini.

Guan Eng mempertikaikan manfaat lawatan itu kepada Malaysia berikutan negara ini tiada hubungan diplomatik dengan kerajaan Afghanistan pimpinan Taliban.

Dalam pada itu, Sangetha juga menekankan bahawa dalam dunia yang semakin saling berhubung, mengecualikan mana-mana kerajaan atau komuniti daripada dialog berisiko mencetuskan pengasingan.

“Penglibatan sebegini penting untuk menegakkan keamanan, kestabilan dan dialog dalam dunia yang sering terpolarisasi,” jelasnya.

Tambahnya, penerimaan Malaysia terhadap lawatan delegasi Taliban, khususnya dalam isu berkaitan pendidikan, menawarkan ruang untuk mempengaruhi dan memberi inspirasi kepada perubahan konstruktif.

“Daripada melihat lawatan ini sebagai langkah mundur, kita seharusnya mengiktirafnya sebagai peluang untuk menegaskan prinsip Malaysia tentang inklusiviti, kesederhanaan dan diplomasi,” tegas beliau.

Anda Mungkin Berminat