SHAH ALAM: Kerajaan Negeri Selangor masih belum menerima maklum balas daripada pihak polis mengenai perkembangan siasatan kes simbahan asid yang melibatkan pemain Selangor FC, Muhammad Faisal Halim.
Exco Belia, Sukan dan Keusahawan Selangor, Mohd Najwan Halimi berkata, sehingga kini status siasatan tersebut masih tidak diketahui walaupun Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor, Lau Weng San telah mengutus surat kepada pihak polis.
“Sehingga hari ini, kita masih belum ketahui status kes Faisal. Kali terakhir kita dimaklumkan bahawa Speaker sudah menulis surat kepada polis memaklumkan usul dipersetujui pada sidang dewan lepas.
“Kita minta siasatan menyeluruh dan dedahkan siasatan kes kepada khalayak tetapi kita tak terima maklum balas,” kata Najwan Halimi.
Pada 5 Mei lalu, Faisal Halim mengalami kecederaan lecur tahap empat di beberapa bahagian badannya selepas diserang dengan asid oleh individu tidak dikenali di sebuah pusat beli-belah di Kota Damansara.
Kejadian itu telah menyebabkan beliau menjalani beberapa pembedahan untuk merawat kecederaan tersebut.
Pada sidang DUN Selangor yang lepas, usul tergempar mengecam perbuatan ekstrem dan keganasan terhadap atlet telah diluluskan secara konsensus oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Selangor.
Usul tersebut antara lain mendesak supaya siasatan menyeluruh dilakukan terhadap kes berkenaan dan dapatan kes didedahkan untuk pengetahuan awam.