PETALING JAYA: Datuk Seri Mohamed Azmin Ali yang sering dianggap sebagai pemimpin Melayu paling ‘overrated’ (dinilai berlebihan) dalam kancah politik moden, kini berdepan kritikan hebat.
Pengarah Stategi Parti Keadian Rakyat (PKR) Selangor, Saifuddin Shafi Muhammad berkata, rekod pengurusan beliau dikatakan lemah dengan perbelanjaan tertinggi tetapi hasil paling rendah dalam tempoh sepuluh tahun pemerintahnnya di negeri itu.
Walaupun begitu, Azmin Ali tetap berusaha meyakinkan orang ramai bahawa Belanjawan 2025 (Selangor) adalah tidak bagus sama sekali.
Namun, Saifuddin berkata, kritikan terhadap beliau (Azmin Ali) semakin memuncak apabila ramai yang menyifatkan beliau sebagai pemimpin yang suka menipu dan hidup dalam khayalan.
“Inilah orang kata ibarat akal labah-labah, di gua buruk suka merakut. Orang jahat yang suka menipu orang,” katanya.
Menurut beliau, era kepimpinan Azmin Ali juga dikatakan tiada projek infrastruktur dan pembangunan yang memacu ekonomi, malah pernah mencatatkan defisit sebanyak RM870 juta.
Sebaliknya, katanya lagi, Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari yang mewarisi rizab daripada Azmin Ali pada 2018, berjaya meningkatkan rizab negeri sehingga RM4 bilion dengan perancangan pembangunan yang lebih tersusun dan kebajikan yang bersasar.
“Kita tidak perlukan pembangkang dengan akal labah-labah. Kita tidak perlukan pemimpin ‘safe house’ kerana Selangor adalah rumah yang selamat buat semua,” tambah Saifuddin.
Terdahulu, Menteri Besar Selangor telah membentangkan Belanjawan 2025 berjumlah RM3 bilion menerusi tema Selangor Dinamik: Cita Sempurna Malaysia Madani.
Peruntukan itu meningkat sebanyak RM470 juta berbanding tahun lalu sebanyak RM2.53 bilion.
Jelasnya, peruntukan itu merangkumi RM1.7 bilion atau 56.7 peratus perbelanjaan mengurus dan RM1.3 bilion atau 43.3 peratus perbelanjaan pembangunan.