Oleh: Kamilia Ali
PARLIMEN: Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) telah berjaya menyekat 1.2 bilion mesej yang tidak diminta dan 1.4 bilion panggilan yang meragukan, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Katanya, MCMC kemudian berjaya menamatkan 118,184 talian palsu dan menyekat akses pada 9,474 laman palsu yang telah dikesan.
“Maka pindaan kepada Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia akan dilakukan, termasuk rang undang-undang dan keselamatan dalam talian,” katanya di Dewan Rakyat, hari ini.
Dalam pada itu, Anwar turut memberitahu Dewan Rakyat bahawa tujuh premis syarikat pemberi pinjaman wang berlesen telah diserbu kerana melanggar Peraturan 15(A) Peraturan Pemberi Pinjaman Wang Pindaan 2024.
Katanya, sebanyak 136 kertas siasatan telah dibuka dan 25 kertas siasatan berjaya dituduh dengan pelbagai kesalahan.
“Langkah-langkah yang diambil ini secara terselaras oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM), Kementerian Dalam Negeri (KDN), Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC), Bank Negara, Pusat Pencegahan Jenayah Kewangan Nasional dan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT),” katanya.
Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan yang diajukan oleh Ahli Parlimen Pulai, Suhaizan Kaiat berkenaan langkah pencegahan terhadap kes pinjaman wang tidak berlesen.
Pada Mac 2024, Dewan Rakyat dimaklumkan terdapat sebanyak 4,407 pemberi pinjam wang (PPW) berlesen yang aktif di seluruh negara sehingga 31 Januari lalu.
Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), Datuk Aiman Athirah Al Jundi @ Raj Munni Sabu berkata, sebanyak 3,329 PPW terlibat beroperasi di Semenanjung Malaysia, Sabah (562), Sarawak (511) dan Labuan (lima).