PETALING JAYA: Leptospirosis adalah penyakit zoonosis yang disebabkan oleh bakteria dari genus ‘Leptospira’, menurut Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
Menurut satu poster yang dikeluarkan oleh KKM, manusia boleh dijangkiti melalui luka pada kulit atau membran mukus yang terdedah kepada bakteria leptospirosis melalui air, makanan atau tanah yang dicemari oleh air kencing haiwan yang terjangkit seperti tikus, kucing, anjing, lembu, kambing, kuda, babi dan haiwan liar lain.
Kata kenyataan itu, penyakit ini boleh dicegah dengan beberapa langkah seperti menutup luka dengan bandage (dressing) yang kalis air sebelum melakukan aktiviti air atau kerja pembersihan.
“Selain tidak bermain air banjir, uruskan sampah makanan dengan sempurna, sentiasa menjaga kebersihan dengan mencuci tangan sebelum makan atau minum dan jangan minum air yang tidak dimasak,” menurut KKM.
Tambahnya lagi, antara gejala dan tanda-tanda leptospirosis termasuk demam panas, sakit kepala, loya, muntah, cirit-birit, sakit otot, jaundis (penyakit yang menyebabkan kekuningan pada kulit dan mata putih akibat meningkatnya pigmen hempedu di dalam darah), sakit perut, mata merah, air kencing berwarna gelap dan ruam kulit.
“Gejala yang lebih serius boleh melibatkan komplikasi meningitis (radang pada selaput meninges akibat jangkitan), pendarahan dari paru-paru, kegagalan hati dan kerosakan buah pinggang,” katanya.
Oleh itu, KKM mengingatkan orang ramai yang menunjukkan gejala harus segera ke klinik berhampiran untuk pemeriksaan dan rawatan terutamanya bagi mereka yang mempunyai sejarah terdedah kepada air atau makanan yang tercemar.