BN perlu terus berubah dan adaptasi – Zahid

KUALA LUMPUR: Lima elemen penting dicadang untuk memastikan Barisan Nasional (BN) kekal relevan di tengah-tengah landskap politik yang semakin dinamik.

Pengerusi BN, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata realiti hari ini telah menuntut gabungan parti itu untuk terus berubah dan beradaptasi.

“Semasa menyampaikan ucaptama, saya telah menekankan bahawa Barisan Nasional bukan sekadar satu gabungan politik, tetapi ianya merupakan sebuah institusi yang paksikan kepada tiga falsafah utama iaitu perpaduan nasional, kesejahteraan rakyat dan pembangunan yang berterusan.

“Inilah nilai-nilai teras yang menjadi panduan kita sejak tertubuhnya Perikatan hingga transformasinya menjadi Barisan Nasional.

“Namun, realiti hari ini telah menuntut kita untuk terus berubah dan beradaptasi, antaranya ialah lepaskan ego kepartian, luaskan keterangkuman, adaptasi terhadap perubahan, norma politik baharu dan kebijaksanaan dalam mengurus keutamaan,” kongsinya di Faceboook selepas sambutan Jubli Emas Barisan Nasional ke-50 tahun yang diadakan di Dewan Merdeka, PWTC pada Sabtu

Justeru, beliau memperkenalkan tiga kerangka β€œMoving Forward” sebagai panduan masa depan BN iaitu π‘…π‘’π‘π‘Ÿπ‘Žπ‘›π‘‘, 𝑅𝑒𝑑𝑒𝑓𝑖𝑛𝑒 dan π‘…π‘’π‘Žπ‘™π‘–π‘”π‘›.

“Kita harus bersedia untuk menjadikan parti ini bukan sahaja sebagai pemangkin perubahan, tetapi juga platform inklusif untuk semua generasi dan lapisan masyarakat.

“Sebagai sebuah gabungan politik yang telah menjangkau usia lima dekad, Barisan Nasional telah melalui pelbagai gelombang cabaran. Namun, sejarah membuktikan bahawa kekuatan kita terletak pada kesatuan dan kebijaksanaan dalam mengemudi bahtera perjuangan,” katanya lagi.

Beliau juga mengajak semua ahli untuk terus berganding bahu, memperkukuh tekad dan iltizam dalam memastikan perjuangan BN terus relevan dan bermakna untuk 50 tahun akan datang.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat