PN umum Azmin Setiausaha Agung, Faizal Ketua Penerangan


Oleh: Shafira Aziz

PETALING JAYA: Perikatan Nasional (PN) mengukuhkan barisan kepimpinannya dengan melantik Datuk Seri Mohamed Azmin Ali sebagai Setiausaha Agung dan Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu sebagai Ketua Penerangan parti itu.

Pengumuman itu dibuat dalam Mesyuarat Majlis Tertinggi (MT) PN yang berlangsung malam tadi, dipengerusikan oleh Tan Sri Muhyiddin Mohd Yassin.

Dalam mesyuarat tersebut, PN turut mengesahkan pelantikan Datuk Mas Ermieyati Samsudin sebagai Ketua Wanita PN.

“Pengerusi PN mengumumkan pelantikan ini sebagai usaha memperkemaskan struktur organisasi dan memastikan kesinambungan kepimpinan di semua peringkat,” kata kenyataan yang dikeluarkan oleh Azmin pada Selasa.

Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) juga menamakan Datuk Seri Hamzah Zainudin sebagai Timbalan Pengerusi PN, manakala Datuk Dr Mohd Radzi Md Jidin dan Datuk Seri Dr Ronald Kiandee dilantik sebagai anggota Majlis Tertinggi PN.

Dalam perkembangan lain, MT PN turut menetapkan komitmen parti untuk menyertai Pilihan Raya Negeri Sabah yang bakal diadakan selewat-lewatnya November 2025.

“PN Sabah diberi mandat penuh untuk merangka strategi bagi memastikan kemenangan dalam membentuk kerajaan baru di negeri itu,” tambahnya.

Mesyuarat turut mengumumkan penubuhan Jabatan Dasar dan Strategi bagi menangani isu-isu strategik negara serta melaksanakan kaji selidik berkaitan isu semasa.

Barisan kepimpinan baharu ini diharap dapat mengukuhkan Perikatan Nasional dalam usaha menghadapi cabaran politik semasa serta memenuhi aspirasi rakyat.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat