Oleh: Tyah Helmi
PETALING JAYA: Retorik besar Pas untuk ‘menyelamatkan dunia’ tidak mampu menutup kegagalan parti itu mengurus negeri Perlis, kata Naib Presiden AMANAH, Datuk Mahfuz Omar.
Beliau merujuk kenyataan Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang baru-baru ini yang menyeru bangsa Melayu Islam agar ‘menyelamatkan dunia’, namun menurutnya seruan itu menimbulkan persoalan besar tentang keutamaan, keupayaan dan kejujuran politik Pas sendiri.
“Di Perlis, Pas berpecah sesama sendiri sehingga menjatuhkan Menteri Besar daripada parti mereka sendiri.
“Pas enggan menerima titah Raja Perlis supaya semua pihak bersatu demi kestabilan pentadbiran negeri.
“Pas mencetuskan krisis politik yang tidak perlu di negeri paling kecil di Malaysia,” katanya pada Khamis.
Beliau berkata, isu yang berlaku bukan lagi sekadar perbezaan ideologi atau prinsip tetapi jelas menunjukkan ketidakmampuan Pas mengurus kuasa, perbezaan dan amanah.
Lebih mengecewakan katanya, Pas sebelum ini turut menolak titah Yang di-Pertuan Agong agar semua parti bersatu dalam Kerajaan Perpaduan demi kestabilan negara pasca pilihan raya.
“Namun hari ini, Pas bercakap soal perpaduan, tasamuh dan kemaafan seolah-olah mereka tidak pernah menjadi punca perpecahan,” ujarnya.
Sehubungan itu, Mahfuz menegaskan selagi bahawa Pas gagal mengurus parti sendiri serta gagal menghormati titah Raja Negeri dan Yang di-Pertuan Agong, maka Pas tidak layak bercakap tentang kepimpinan umat apatah lagi menyelamatkan dunia.








